Jumaat yang kian sunyi
HARI Jumaat adalah hari yang mempunyai makna yang berbeza buat setiap orang. Bagi saya, ia mencatat makna-makna yang berbeza pada peringkat-peringkat usia yang saya lalui.
Sewaktu bersekolah di Johor, hari Jumaat ialah hari cuti. Pada hari itu, pagi-pagi lagi abah dah suruh saya cuci dan kapur kasut sekolah. Kemudian abah akan potongkan kuku saya sebelum mandi sunat Jumaat. Lebih kurang jam 11.30 saya akan membonceng basikal abah untuk ke Masjid Jamek Mersing kira-kira 1.5 kilometer dari rumah.
Saya masih ingat lagi bila abah meletak basikal di bawah pokok berhampiran dengan tangga untuk ke masjid. Ada ratusan basikal di situ. Masjid Jamek Mersing terletak di atas bukit. Jadi kami menapak naik lebih 100 anak tangga.
Satu-satunya kegembiraan saya setelah bersolat Jumaat dengan abah ialah dia akan membawa saya makan nasi minyak di Medina Restoran di bandar Mersing. Wah, itulah hadiah yang abah beri kerana bersolat dengannya.
Bila meningkat remaja, saya berkayuh ke masjid sendirian. Dapat berjumpa kawan-kawan sekolah sebelum solat. Selepas solat kami ramai-ramai meredah semak menuruni bukit masjid. Tidak mahu ikut tangga yang ada kerana inginkan thrill. Ada juga ketikanya saya jatuh tergolek ke bawah bukit bila tersadung akar kayu. Zaman kanak-kanak mana tahu erti sakit!
Saya ingat lagi ketika menuntut di UiTM Dungun pada tahun 1970-an. Saya akan bersolat Jumaat di sebuah masjid di Kampung Pak Sabah. Kipas angin yang ada hanyalah kipas yang diletak di bahagian hadapan masjid. Jika tiba lewat, alamat tubuh lencun dengan peluh kerana bersolat di bahagian belakang yang tiada kipas.
Bila meniti zaman bekerja, saya bersolat Jumaat di Masjid Negara kerana pejabat saya terletak di Bangsar. Biasanya saya ke masjid dengan bas mini. Ada satu pengalaman yang menjadi kenangan kelakar pada suatu Jumaat. Dalam perjalanan pula ng, entah macam mana selipar saya putus!
Dalam bas yang sesak dan berhimpit itu, saya tidak dapat mengambil dan membetulkan selipar. Lantas apabila bas tiba di Bangsar, saya turun berkaki ayam! Masya-ALLAH, jalan raya ketika itu sesak dan tapak kaki saya kepanasan. Pedihnya rasa hinggakan saya terpaksa mengangkat kaki kiri kanan, kiri kanan seperti orang sedang berkawat. ‘Kereta banyak. Macam mana nak lintas ni? Aduh...’ desis hati saya.
Bantuan ALLAH tiba. Saya terpandang seorang buta berhampiran yang juga ingin melintas jalan. Tanpa berlengah lagi saya bahunya dengan tangan kiri, saya angkat tangan kanan tinggi-tinggi meminta kenderaan berhenti. Alhamdulillah, dengan mudah saya dapat membawa lelaki buta itu melintas jalan. Atau... lelaki buta itu yang membantu saya melintas jalan!
Sebaik sahaja melepaskan tangan lelaki buta itu, saya berlari ke sebuah kedai kasut berhampiran. Pedih di tapak kaki semakin tak tertahan. Bila bertembung dengan amoi promoter di kedai itu, saya menggesa, “I want a pair of slippers!” Amoi itu kaget melihat wajah cemas saya. Namun apabila dia ternampak kaki saya, dia tersenyum menekup mulut!
Khutbah Jumaat adalah acara wajib. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah tatkala menunaikan solat Jumaat di masjid belakang Istana Negara Lama.
Ketika itu, khatibnya ialah Allahyarham Datuk Hassan Din al-hafiz. Khutbah pertamanya meriwayatkan hadis tiga amalan yang kekal walaupun seseorang itu telah meninggal dunia iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan doa anak yang soleh.
Saya yang sedang berwuduk ketika khutbah dibacakan bergegas masuk ke ruang solat kerana Allahyarham terus membaca khutbah kedua sebelum menamatkannya untuk bersolat. Tidak sampai lima minit, khutbah selesai. Ia adalah khutbah Jumaat teringkas pernah saya alami.
Semakin berusia, saya semakin faham mengenai erti hari Jumaat sebagai penghulu segala hari. Ia adalah hari penghapus dosa seminggu di antara dua Jumaat dan hari di mana ada saat doa akan dimakbul.
Semuanya saya dapati melalui ceramah secara live di surau, masjid dan juga melalui YouTube. Setelah ribuan kali berseronok merayakan hari Jumaat saya kasihankan cucu-cucu saya yang tidak berpeluang beraya seminggu sekali seperti saya kerana terhalang akibat Covid-19.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!