Kegemilangan rock kapak

Kumpulan Wings antara band yang popular pada era rock kapak di Malaysia.
Kumpulan Wings antara band yang popular pada era rock kapak di Malaysia.
A
A
A

KETIKA Jali balik buat pertama kali ke Kampung Sungai Limau, semua orang terpinga-pinga. Malah ada yang ternganga. Mereka bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihat. Malah emak Jali, Embah Tuminah mengambil masa yang agak lama mengintai dari celah jendela selepas Jali memberi salam. Dia hanya membukakan pintu setelah mendengar Jali terbersin. Dia cam bersin anaknya itu.

Sementara Embah Tuminah berceramah panjang di rumah, orang-orang yang melihat Jali turun bas ekspres tadi bertanya jawab sesama sendiri. Pokok persoalannya sama. Mereka hairan bagaimana Jali boleh berubah begitu sekali. Sewaktu meninggalkan kampung itu untuk mengadu untung di Kuala Lumpur hampir setahun lepas, dia masih Jali yang lama. Rambutnya sentiasa bersikat rapi, pakaian pula macam orang kerja makan gaji.

Tetapi Jali yang pulang bukan lagi Jali yang itu. Rambut panjang dan mengembang, seluarnya ketat berkilat-kilat entah daripada kulit atau daripada getah, kepala tali pinggang sebesar piring, singletnya sendat ala-ala kulit harimau bintang dipadankan dengan jaket kulit bertampal-tampal. Kasut sukan jenama Aliph pula sekali pandang pun sudah tahu harganya bukan murah. Siap bersubang telinga lagi.

Itu cebisan kisah daripada lipatan sejarah. Kisah sekitar pertengahan 1980-an ketika muzik rock sedang rancak berkembang di negara ini. Aliran muzik itu tidak hanya datang dengan iramanya yang keras, luhur dan mengasyikkan tetapi juga dengan pengaruh gaya dan fesyennya yang pada waktu itu dianggap sebagai menongkah arus.

Pengaruh itu pantas menular. Ia bagaimanapun berbeza dengan pengaruh ‘hippie’, budaya yang bangkit daripada semangat antiperang anak-anak muda Amerika Syarikat (AS), yang turut sampai ke sini pada akhir tahun 1960-an. Pengaruh hippie secara umumnya terbatas pada belia bandar, terutama mereka yang berada di bangku pengajian sedangkan pengaruh rock meluas sehingga ke ceruk-ceruk desa.

Tidak seperti hippie yang sering dikaitkan dengan marijuana dan dadah lain, rock berjaya melindungi imejnya dengan cara tersendiri. Ia lebih dilihat sebagai terjahan keras kepada budaya sistem sosial anak-anak muda. Sembang sahaja dengan slanga ‘Lu’ vs ‘Gua’. Mesej muzik dan lirik ada yang keras, ada juga yang asyik mendayu.

Tidak hanya itu, jika hippie dibayangi oleh imej-imej radikal yang secara halus wujud unsur-unsur politiknya, rock bebas daripada pengaruh seumpama itu. Ia, bagi saya, adalah ‘muzik terus terang bagi melontarkan kata hati secara jujur’. Tidak ada politik. Tidak ada hipokrasi. Yang ada hanyalah jeritan kata hati yang minta difahami!

Di Malaysia muzik rock sering dikaitkan dengan ‘kapak’. Rock kapak – dua perkataan yang tiada kaitan. Rock dalam konteks ini bukanlah batu, jika tidak boleh juga dikatakan ‘kapak batu’. Sebaliknya yang dimaksudkan rock ialah ‘bergerak ke depan dan belakang, ke kiri dan ke kanan mengikut irama dan rentak’. Dengan bahasa mudahnya bergoyang rancak mengikut alunan muzik.

Artikel Berkaitan:

Tentang ‘rock kapak’ itu, ada yang berpendapat ia berasal daripada perkataan ‘rock’ di ‘car park’ (tempat parkir kereta), merujuk kepada persembahan muzik rock di kawasan letak kereta di Barat pada masa dahulu. ‘Car park’ itulah kemudiannya kita pinjam dan kita ubah menjadi ‘kapak’. Itu sahaja susur galurnya yang saya jumpa dan saya anggap logik.

Kalau ikut sejarahnya rock bermula sebagai rock n roll, yang dipelopori Elvis Presley pada tahun 1950-an. Ia mengalih tumpuan daripada irama jazz, blues dan country yang mendominasi AS ketika itu.

Fesyen rock kapak yang menjadi kegilaan anak muda pada tahun 1980-an.
Fesyen rock kapak yang menjadi kegilaan anak muda pada tahun 1980-an.

Rock n roll pantas berkembang merentasi sempadan politik dan budaya. Tetapi ia kemudiannya tenggelam dengan kemunculan kumpulan pop gitar rancak yang tumbuh bagaikan cendawan pada awal 1960-an. Maka nama-nama seperti The Beatles, The Shadow, The Ventures dan Dick Dale menjadi kegilaan anak muda..

Akhir 1960-an dan awal 1970-an muzik pop dan hard rock mula menggantikan irama gitar rancak. Kemunculan Rolling Stone dan sentuhan keras Jimi Hendrix pada gitar elektriknya menyuntik kesegaran baharu pada irama rock. Dari situ muncullah kumpulan-kumpulan yang lebih keras ‘rock’nya seperti Deep Purple, Led Zeppelin, The Eagle, Aerosmith, Black Sabbath dan banyak lagi.

Pengaruh inilah yang melahirkan Sweet Charity, kumpulan dari Singapura yang turut dianggotai oleh ‘Papa Rock’ Ramli Sarip. Dan Sweet Charity dianggap sebagai pelopor kepada perkembangan muzik rock, kapak atau tidak, di Singapura dan Malaysia.

Bermula daripada album pertama mereka pada 1979, Sweet Charity menjadi pencetus kepada kelahiran banyak lagi band-band rock di negara ini. Pertumbuhannya begitu rancak sehingga membawa kepada penganjuran pertandingan band rock peringkat kebangsaan seperti Juara Rock, Festival Rock dan Battle of the Bands 1 & 2.

Ada yang berpendapat zaman kegemilangan rock kapak di Malaysia adalah antara tahun 1983 hingga 1993. Sesiapa yang pernah melalui alam remaja dan belianya pada ketika itu tentu bersetuju dengan pendapat tersebut. Pada tempoh itu gemilang rock kapak boleh dilihat di mana-mana sahaja.

Dari corong radio ke poster di bilik bujang, daripada penjual kaset (kemudiannya CD) di Chow Kit ke tapak funfair yang sambutannya ke tahap ‘pecah padang’, dari dalam bas mini hingga ke perdu getah dan kebun sawit, dari bilik kolej di kampus hingga bilik pejabat di Golden Triangle Kuala Lumpur. Rock dan rockers ada di mana-mana.

Dari rock kapak sehinggalah rock leleh.Secara peribadi saya meminati sentuhan rock Wings dan Desire. Berbanding dengan Search, muziknya agak elitis, namun Wings sangat dekat di hati rakyat. Lagu Jaket Biru, Misteri Mimpi Syakilla dan Sejati menjadi siulan hingga hari ini.

Apabila Wings datang ke Sungai Besar di funfair pada tahun 1988, tiga orang pelajar asrama sekolah saya dibuang kerana lompat pagar semata-mata menonton konsert Wings. Ini fenomena biasa apabila konsert rock diadakan berhampiran sekolah asrama. Ini tidak termasuk hilangnya koko kering dan kelapa sawit semata-mata untuk membeli tiket konsert funfair.

Suatu masa saya pernah cuba merekodkan dan mengingat nama kumpulan-kumpulan rock ini. Tak mampu. Terlalu banyak. Search, Wings, Lefhanded, BPR, May, Rusty Blade, Sofea, Crossfire, D’Riyadh, Junction, Desire, SYJ, dan banyak lagi. Boleh luruh tulang dagu jika disebut satu persatu.

Sampai sekarang rock sebenarnya terus hidup, terus segar, bukan sahaja bagi mereka yang suka mengimbau nostalgia, tetapi juga bagi yang tahu menilai erti kehalusan dalam kekerasan, erti kelembutan dalam kerancakan. Kerana rock masih hidup dan masih segarlah saya menyiapkan artikel ini sambil diiring oleh lagu Sentuhan dendangan Desire. “Pilu menyentuh hati..” Ahh, asyik sungguh. #dush.

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!