Pandai beri 1,001 alasan nak lepas diri
SABAN hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan kita dapat melihat tahap pematuhan orang ramai pada tahap terbaik.
Mungkin kerana pengalaman norma baharu sejak PKP pada Mac tahun lalu telah sebati dalam jiwa kita yang mahu terus membantu memutuskan rantaian wabak.
Namun, masih ada segelintir yang terus mengambil mengambil kesempatan untuk bercakap bohong.
Ya! bercakap bohong untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) kerana sikap pentingkan diri yang terlalu menebal dalam diri.
Setiap kali turun ke mana-mana SJR, penulis sendiri dapat melihat ada sahaja alasan tidak masuk akal diterima polis.
Perkara ini terbukti dalam sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Surian, Petaling Jaya diketuai oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal baru-baru ini, ada yang memandu kereta melebihi radius 10 kilometer dari rumahnya dengan memberi alasan mahu membeli ikan salmon di sebuah kedai di Kota Damansara.
Begitu juga dengan alasan lain seperti hendak pergi rumah anak, mahu beli makanan di restoran situ kerana makanannya sedap dan paling rare, mahu pusing-pusing ambil angin.
Kreatif rakyat kita bukan setakat itu sahaja, di laman sosial atau laman sesawang pula pelbagai berita tidak benar disebarkan.
Penulis tertarik dengan gambar seorang anggota polis bersama dua orang kanak-kanak berbasikal di Kuala Langat yang tular bersama sekeping kertas kompaun.
Dalam ayat ringkas yang tersebar dengan gambar itu melalui laman sosial, dua kanak-kanak itu kononnya telah dikompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman segera menafikan dan berkata, kompaun yang tersebar itu dikeluarkan membabitkan individu tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal pada 18 Januari lalu.
Penulis sendiri sering mengingatkan rakan–rakan di grup-grup laman sosial agar lebih bertanggungjawab sebelum menyebarkan maklumat yang diragui kesahihannya.Mungkin ada yang tidak senang dengan pendekatan penulis, tetapi sebagai orang yang berpelajaran, seharusnya kita berfikir tentang kesan dan akibat penyebaran tidak betul yang kita buat.
Penulis yakin kerajaan sendiri pun bukan berniat untuk menghalang kebebasan bersuara dan sebagainya tetapi kewujudan portal Sebenarnya.my dengan tagline ‘Tidak Pasti Jangan Kongsi’ oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah kerana mahu menangkis berita-berita yang jika dibiarkan terus tersebar boleh menghuru-harakan masyarakat.
Bagaimanapun, tahap sikap suka jaga tepi kain orang serta rajin memberi maklumat kepada polis hingga tertangkapnya kumpulan penjenayah termasuk sindiket dadah wajar diberi pujian.
Perkara itu diakui sendiri oleh Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed ketika ditemu bual penulis baru-baru ini bahawa kejayaan tangkapan menumpaskan geng kongsi gelap, sindiket pengedaran dadah, perjudian dan pelacuran sebenarnya adalah hasil daripada maklumat awam.
Menurut Arjunaidi, sepanjang tahun lalu seramai 365 ahli kumpulan kongsi gelap telah ditahan atas pelbagai kesalahan. Daripada jumlah itu, seramai 36 orang telah diambil tindakan dan 248 sudah dituduh di mahkamah.
Penulis sempat juga bertemu dengan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan ketika ke Johor Bahru untuk satu tugasan pada Disember tahun lalu.
Dalam pertemuan makan tengah hari itu, pelbagai perkara kami bualkan termasuk mengenai sifat keterbukaan beliau menerima setiap maklumat awam yang kemudiannya akan diteliti sebelum disiasat.
Tahniah! Kata-kata beliau itu menjadi kenyataan apabila pembuka tirai tahun 2021, rampasan dadah bernilai RM327 juta dengan 13 ahli sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar di negara ini ditangkap termasuk lima ketua sindiket bersama teman wanitanya dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa.
* Izwan Rozlin ialah Ketua Meja Jenayah dan Mahkamah Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!