Berfikir semula tentang Melayu

A
A
A

KIRA-KIRA 20 puluh tahun lalu saya meramalkan yang orang Melayu akan menghadapi masa depan gelap jika parti-parti politik yang mewakili mereka tidak bersuara secukupnya bagi pihak mereka.

Saya membuat ramalan itu dalam sebuah rencana bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno yang baru mengambil alih pergerakan itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau mengambil alih kepimpinan pergerakan itu pada tahun 1998 setelah ia mengalami dua krisis besar dalam masa yang pendek iaitu lebih kurang empat tahun.

Krisis pertama peletakan jawatan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik sebagai ketua pada tahun 1994 dan kedua pemecatan Timbalan Presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 1998.

Pemuda Umno terseret ke dalam krisis pemecatan Anwar kerana ketuanya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, adalah penyokong kuat Anwar. Malah beliaulah yang mengetuai kempen untuk menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun), supaya Anwar naik menjadi Perdana Menteri.

Anehnya apabila Anwar dipecat, Ahmad Zahid memilih untuk kekal dalam Umno di bawah pimpinan orang yang cuba dijatuhkannya.

Sebaik sahaja mengambil alih kepimpinan Pemuda Umno, Hishammuddin dilaporkan sebagai berkata bahawa Pemuda telah pulih dan sejarah hitam sudah ditinggalkan di belakang.

Saya membalas dengan mengatakan bahawa tidak guna Pemuda Umno pulih jika orang Melayu semakin terpinggir, khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Orang Melayu dan Bumiputera lain mencapai kemajuan besar ketika Dasar Ekonomi Baru (1971-1991) tetapi masih gagal untuk mencapai matlamat dasar tersebut dan masih jauh ketinggalan berbanding orang Cina dan India.

Ketika itulah lahir kelas menengah Melayu yang besar hasil pendidikan dan penyertaan dalam sektor ekonomi moden. Tetapi saya perhatikan bahawa menjelang pertengahan tahun 1990-an, semangat untuk membantu orang Melayu khususnya dan Bumiputera amnya semakin luntur.

Parti-parti politik yang mewakili orang Melayu bercakaran sesama sendiri dan pemimpin Melayu terlalu taasub dengan kekayaan harta benda sehingga menggelar diri mereka Melayu Baru.

Saya kata, apa guna mengisytiharkan diri Melayu Baru dengan harta dunia yang banyak kalau parti-partri Melayu tidak lagi bersuara membela orang Melayu sebaliknya sekadar mempertahankan kerajaan yang mereka anggotai.

Saya menyarankan agar Pemuda Umno kembali kepada tujuan dan idealisme asalnya iaitu sebagai pendesak perjuangan hak Melayu. Saya kata, harus ada pemisahan di antara parti dan kerajaan.

Tulisan saya dalam akhbar Utusan Malaysia itu mendapat reaksi yang tidak dijangkakan. Ia bertukar menjadi polemik hangat apabila bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, membalas dengan sebuah rencana bertajuk “Melayu Tidak Berani Bersuara”. Cendekiawan Melayu yang lain seperti Almarhum Tan Sri Zainuddin, Tan Sri Johan Jaffar dan Datuk M. Noor Azam turut memberi pendapat.

Malangnya nasib orang Melayu yang baru mula bertatih dalam ekonomi moden melalui DEB, mendapat tamparan hebat dan terbantut sehingga hari ini akibat Krisis Kewangan Asia tahun 1997/98 dan ketidaktentuan ekonomi global selepas itu.

Dipantaskan ke hadapan 20 tahun; Hishammuddin bukan Ketua Pemuda Umno lagi dan Umno tidak lagi mengetuai kerajaan.

Kalau Umno kembali membela dan memperkasakan orang Melayu seperti yang disarankan pada tahun 1998 itu mungkin hari ini ia masih berkuasa. Soalnya sekarang siapakah yang akan menggantikan Umno bagi mengarak panji-panji bangsa Melayu atau kita sedang melihat permulaan kepada kepupusan bangsa Melayu kerana demikianlah DNA bangsa itu mentakdirkan.

Melayu bermula sebagai bangsa darah dan keturunan tetapi diubah menjadi bangsa perlembagaan kononnya untuk menjamin kelangsungannya. Tetapi yang dibimbangkan ialah orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan dengan hak-hak istimewanya juga dilunturkan jati dirinya oleh Perlembagaan.

Hari ini sesiapapun boleh menjadi Melayu, memiliki kad pengenalan yang mengatakan dia Melayu asalkan dia beragama Islam, bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat resam Melayu dan bersedia mengakui dirinya Melayu.

Jadi tidaklah menghairankan kalau hari ini sudah ada orang yang dilahirkan Punjabi tetapi “berbangsa” Melayu dan adalah tidak mustahil pada masa akan datang anak-anak yang bapanya dari Afrika, Pakistan dan Eropah didaftarkan sebagai Melayu.

Justeru, dalam kita berbahas dan berartikulasi mengenai pelbagai hal berkaitan “Melayu” – daripada politik kepada pendidikan, ekonomi, budaya dan bahasa - kita kena semaikan di fikiran bahawa Melayu bukan lagi bangsa yang berasaskan darah keturunan semata-mata.

Melayu seperti dalam mitos Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba mungkin tidak pernah ada dan kalau ada pun sudah lama ditelan zaman. Maaf cakaplah kalau saya kata, Melayu sebagai bangsa darah keturunan tidaklah sehebat dalam mitos. Jadi dalam sebarang usaha menyelamat dan memperkuatkan orang Melayu, kita perlu jelas Melayu mana yang kita maksudkan.

Hari ini lahir sekelompok lagi Melayu yang dikenali dengan identiti ekonomi iaitu Melayu B40. Mereka ini adalah Melayu (dan bukan Melayu juga) yang berupa 40 peratus warganegara terkebawah dalam susunan ekonomi.

Mereka inilah yang menjadi sasaran utama bantuan dan pembaikan taraf ekonomi oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dan secara kebetulan majoriti daripada mereka adalah Melayu. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!