Perkenal modul rasuah dalam pembelajaran di universiti

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha untuk memupuk kesedaran terhadap isu rasuah perlu ditekankan dalam proses pembelajaran dan pengajaran di universiti-universiti di Malaysia.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor berkata, usaha sedemikian perlu dititikberatkan kepada pelajar supaya mereka memiliki pengetahuan yang jelas mengenai rasuah.

Menurutnya, institusi pengajiann tinggi (IPT) tidak perlu membentuk sebuah subjek bagi merealisasikan perkara tersebut tetapi cukup dengan hanya memasukkan elemen berkenaan rasuah ke dalam subjek seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

“Penekanan kepada isu rasuah perlu diberikan khususnya dengan cara memasukkan pengenalan mengenai budaya rasuah serta sebab kenapa rasuah itu boleh berlaku.

“Dan ia perlulah dilakukan dengan cara memberikan contoh-contoh mudah supaya para pelajar dapat memahami apakah konsep rasuah yang sebenarnya.

“Dengan erti kata lain, kita memudahkan konsep supaya perbuatan rasuah itu dapat difahami oleh mereka, seterusnya membolehkan mereka melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Alif berkata, langkah memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai isu tersebut berpotensi untuk membantu negara mengurangkan berlakunya kes rasuah.

Sebelum ini pada tahun 2017, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan gejala rasuah dalam kalangan pelajar universiti di negara berada pada tahap membimbangkan susulan kajian yang dilakukan agensi tersebut pada tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut SPRM, berdasarkan kajian ke atas 1,000 penuntut universiti itu, pihaknya merekodkan sebanyak 16 peratus dalam kalangan mereka sanggup menerima rasuah, manakala 18.5 peratus pula sanggup memberi rasuah.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Mohd Alif berkata, beliau berpandangan kesedaran terhadap rata-rata pelajar di universiti dalam negara sudah menunjukkan peningkatan sejak daripada pendedahan kajian itu.

Menurutnya, hal sedemikian berlaku kerana terdapat beberapa program melibatkan pelajar dan beberapa agensi, antaranya seperti SPRM dan Institut Integriti Malaysia bagi memberikan penekanan kepada usaha memerangi rasuah.

Mohd Alif berkata, usaha Sinar Harian melalui inisiatif kempen Sinar Rasuah Busters amat tepat pada masanya untuk memberikan kesedaran yang lebih mendalam kepada rakyat Malaysia.

Katanya, inisiatif sedemikian perlu dilakukan dari masa ke masa kerana ia bukan sahaja dapat memberikan kesedaran kepada ahli akademik, malah menjadi platform untuk mendengar kerisauan rakyat Malaysia terhadap amalan rasuah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!