31,716 pelajar dikesan pembawa talasemia

Datuk Seri Dr Adham Baba
Datuk Seri Dr Adham Baba
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seramai 31,716 pelajar daripada 729,994 pelajar Tingkatan Empat yang disaring sejak 2016 dikesan sebagai pembawa talasemia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah itu membawa maksud seramai 464 orang dalam 10,000 pelajar Tingkatan Empat yang disaring adalah pembawa talasemia.

"Ia bersamaan lima peratus atau nisbah seorang dalam setiap 20 orang yang disaring," katanya dalam ucapan sempena majlis pelancaran Kempen Kesedaran Talasemia 'nowyouseeme' 2021.

Majlis yang diadakan secara maya itu turut disertai oleh Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahya dan Pengarah Repsol Malaysia, Pablo Ortola Martinez.

Menurutnya, memandangkan kos rawatan talasemia adalah tinggi, maka usaha pencegahan mesti dilaksanakan bagi memastikan bilangan pesakit talasemia baharu berkurangan.

"Bagi mengurangkan beban penyakit talasemia, KKM telah memperkenalkan saringan talasemia pelajar Tingkatan Empat sejak tahun 2016 di sekolah dan Malaysia Thalassaemia Registry melaporkan, sehingga 28 November 2018, seramai 8,681 pesakit telah didaftarkan.

"Seramai 7,240 pesakit masih hidup dan sedang menerima rawatan manakala 130 pesakit telah sembuh dengan rawatan sel stem," katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, pesakit talasemia juga diminta memainkan peranan sebagai agen perubahan dengan mendidik ahli keluarga terdekat mengenai kepentingan menjalani ujian saringan dan seterusnya memelihara keturunan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mereka yang telah disahkan sebagai pembawa talasemia, sebaik-baiknya pilihlah bakal pasangan hidup dalam kalangan mereka yang tidak membawa baka penyakit ini, bagi mengurangkan risiko mereka daripada mendapat zuriat yang menghidap talasemia.

"Sudah tiba masa untuk pesakit talasemia menyatakan sejarah kesihatan kepada bakal pasangan hidup. Jadilah masyarakat yang mempunyai kesedaran kesihatan yang tinggi, supaya anda mampu untuk membuat ‘informed choice’," katanya.

Kempen Talasemia ‘nowyouseeme’ 2021 yang dijalankan sepanjang tahun adalah usaha bersama KKM, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Repsol.

Kerjasama yang bermula sejak 2018 itu bertujuan menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran orang awam dan murid sekolah tentang penyakit talasemia serta kepentingan mengetahui status masing-masing.

Sementara itu, Muhaimin dalam ucapannya berkata, anggaran seramai 373, 650 enrolmen murid Tingkatan Empat akan terlibat dengan saringan talasemia pada tahun ini.

"Pihak KPM akan sentiasa memberi kerjasama kepada KKM dalam menjayakan saringan ini demi pencegahan talasemia di negara kita," katanya.

Pada sidang akhbar, KKM yang diwakili oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Kesihatan Sekolah, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Dr Don Ismail Mohamed berkata, saringan dilakukan terhadap pelajar Tingkatan Empat mengambil kira beberapa faktor.

"Antaranya pelajar berkenaan tidak mempunyai komitmen peperiksaan besar selain kajian klinikal patalogi mendapati parameter bacaan darah individu berusia 16 tahun sama dengan orang dewasa dan ia boleh dihidapi oleh pelbagai peringkat umur.

"Kita melakukan saringan bersasar agar ia lebih efektif dan KKM membuat keputusan untuk melakukan saringan lebih awal iaitu sebelum mereka memasuki alam perkahwinan," katanya.

Dr Don Ismail berkata, talasemia mempunyai pelbagai jenis dan pembinaan sel darah merah memerlukan protein serta beta.

"Kalau saringan dibuat terhadap bayi baru lahir, kita mungkin terlepas individu ada penyakit talasemia beta kerana ia hanya akan dapat dikesan apabila bayi berkenaan berusia enam bulan ke atas.

"Sebab itu kita mengambil langkah melakukan saringan terhadap mereka yang belum menginjak ke alam perkahwinan," katanya.

Menurutnya, saringan talasemia pada pemeriksaan pra perkahwinan disifatkan lewat untuk seseorang individu tersebut membuat keputusan.

"Apabila pembawa berkahwin dengan pasangannya yang juga pembawa talasemia, maka anak yang bakal dilahirkan mempunyai risiko 25 peratus penyakit itu sepenuhnya manakala 50 peratus risiko akan menjadi pembawa talasemia dalam setiap kehamilan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!