Semua pihak perlu bangkit menentang rasuah
SHAH ALAM - Gerakan perangi rasuah memerlukan gerakan nilai secara serentak oleh rakyat untuk rakyat demi mengembalikan nilai moral dan karakter bangsa yang selama ini telah terhakis kerana sistem pertahanan yang tidak kuat.
Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, tindakan itu penting untuk dimulakan secara individu kerana selama ini ramai yang membiarkan rasuah sehingga ia membiak menjadi wabak.
“Segala perdebatan yang selama ini setakat di grup WhatsApp, dan media sosial perlu diterjemahkan kepada tindakan di mana semua orang bangkit secara serentak, buat sesuatu dalam kapasiti masing-masing.
“Agamawan ambil pendekatan agama, NGO ambil pendekatan, begitu juga di sekolah, universiti, pejabat, di rumah dan di mana-mana sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika tampil selaku panelis program 'Bual Bicara bertajuk Jihad Hapuskan Rasuah' anjuran Bernama TV yang disiarkan secara langsung di Facebook dan Youtube Bernama TV.
Program dikendalikan oleh Sherkawi Jirim itu turut menampilkan Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Celemans Kasim sebagai panelis.
Tambah Hussamuddin, individu yang mungkin selama ini seolah-olah merelakan rasuah berlaku walaupun tidak terlibat, diharap akan bangkit dan tidak takut menentang perbuatan tidak bermoral itu dengan gerakan 'Sinar Untuk Malaysia' yang diilhamkannya itu.
“Jadi dengan gerakan kesedaran ini, mereka tahu mereka tidak bersendirian,” katanya.
Beliau turut menekankan perlunya kebangkitan segenap lapisan masyarakat merentasi pelbagai agama, bangsa dan fahaman politik bersama memegang pada nilai yang akan menjadi pengukur kepada pemilihan pemimpin untuk masa depan.
“Setiap agama mengajar kita tentang tanggungjawab, jadi kita kena tanya diri kita kalau kita memilih seorang ketua (terlibat rasuah), apa impak kepada masyarakat?,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!