Keluarga antara punca individu alami tekanan
SHAH ALAM – Keluarga antara punca utama yang boleh menyebabkan berlakunya tekanan kepada diri seseorang, kata Ketua Kluster Psikometrik, Universiti Malaya (UM), Dr Harris Shah Abd Hamid.
Menurut beliau, keluarga merupakan agen sosialis terawal yang membentuk pemikiran setiap individu.
“Stres atau tekanan adalah satu tindak balas disebabkan sesuatu bebanan yang menimpa seseorang individu yang boleh wujud dalam bentuk ancaman, cabaran ataupun apa-apa perubahan di dalam hidup seseorang.
“Keluarga itu sendiri boleh menjadi punca tekanan. Misalnya ada ibu bapa yang sudah menanamkan satu perasan atau pemikiran kepada anak-anak untuk takutkan sesuatu seperti kegelapan dan sebagainya.
“Secara langsung ia (kegelapan) seolah-olah memberikan ancaman kepada anak-anak sekali gus membentuk punca stres mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Wacana Al-Quran siri ke-72 yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Wacana berkenaan dibawakan oleh CELPAD IIUM dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, IIUM CENTRIS, IIUM Disability Services Unit (DSU) dan Sahabat YADIM IIUM dengan misi MengQURANkan Bangsa, MengIKHLASkan Ummah melalui Baca, Faham dan Amal.
Program itu turut menampilkan Muslim Chaplain/ Kaunselor di Institut Jantung Negara (IJN), Khairil Anwar Abdul Latif sebagai panelis manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan qari jemputan Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan surah Hud ayat 80 hingga 81.
Turut berkongsi pengalaman, pesakit ‘anxiety disorder’ Nazia Suhaimi yang disahkan mengalami penyakit itu sejak Disember 2017.
Mengulas lanjut, Harris Shah berkata, sebagai orang terdekat, keluarga sepatutnya memberikan galakan dalam membentuk pemikiran ahli keluarganya.
“Ibu bapa dan ahli keluarga perlu membina keyakinan dalam diri anak-anak mereka dan kemampuan untuk menghadapi tekanan ini juga perlu ditanam sejak kecil lagi.
“Sebab itu, kita perlu berhati-hati dengan pendekatan yang kita guna dalam membantu ahli keluarga yang menghadapi tekanan. Kena dengar dan peka dengan setiap luahan yang dikongsi sebab ia boleh mengurangkan stres selain membuat aktiviti bersama-sama,” katanya.
Tambahnya, tekanan boleh dikawal dengan pelbagai cara secara sendiri mahu pun melalui bantuan ahli keluarga atau rakan-rakan.
“Salah satunya dengan cara proaktif yang lebih fokus kepada pencegahan, perlu ada pendinding. Sebelum ‘stres’ menguasai diri, kita sediakan ‘senjata’ terlebih dahulu selain berani melawan tekanan itu.
“Kalau dalam organisasi, kena buat audit apa yang menjadi punca stres kerana tidak semua orang dapat bertindak balas dengan perkara sama.
“Selain itu, ahli keluarga perlu bertindak balas, sama-sama membantu sekiranya ada perubahan yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga. Stres mesti ditangani secara berterusan bagi memastikan kita sihat dari segi fizikal, emosi dan minda,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!