Menteri Pertahanan Colombia meninggal dunia akibat Covid-19
BOGOTA - Menteri Pertahanan Colombia, Carlos Holmes Trujillo yang memantau usaha kerajaan memerangi kumpulan-kumpulan dadah dan gerila meninggal dunia pada Selasa disebabkan komplikasi Covid-19.
Trujillo, 69, merupakan pegawai tinggi negara itu dan salah seorang daripada hampir 12 menteri Kabinet yang telah dijangkiti Covid-19.
Pandemik itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 1.2 juta orang meninggal dunia sejak ia ditemui kali pertama di China pada Disember 2019.
Ucapan takziah dan simpati berikutan kematian beliau turut disampaikan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Presiden Colombia, Ivan Duque mengeluarkan dekri untuk negara tersebut berkabung selama tiga hari bagi memperingati kematian Trujillo dan mangsa-mangsa akibat Covid-19.
"Terima kasih sahabat; terima kasih rakan; terima kasih menteri; terima kasih @CarlosHolmesTru," menurut ciapannya menerusi Twitter seperti dilaporkan AFP.
Trujillo dimasukkan ke sebuah hospital kerana dijangkiti Covid-19 pada awal bulan ini dan menghidap pneumonia.
Beliau dilaporkan jatuh sakit ketika melakukan lawatan ke bandar tepi pantai iaitu Barranquilla dan dimasukkan ke sebuah hospital pada 11 Januari sebelum dipindahkan ke sebuah hospital tentera di Bogota serta dirawat di unit rawatan rapi selama beberapa hari sebelum meninggal dunia.
Dilahirkan di Cali, barat daya negara itu, Menteri Pertahanan itu telah berkhidmat di bawah enam Presiden Colombia sejak tahun 1990 sebagai Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pendidikan serta pernah beberapa kali menjadi duta.
Selepas gagal merebut jawatan Presiden, beliau dilantik menjadi Menteri Luar dalam kerajaan Duque pada tahun 2018.
Trujillo dilantik menjadi Menteri Pertahanan selepas peletakan jawatan Guillermo Botero pada tahun 2019 yang dituduh cuba menyembunyikan kematian kanak-kanak dalam satu serangan udara tentera terhadap sebuah kumpulan dadah.
Colombia melaporkan lebih dua juta kes Covid-19 dan hampir 52,000 orang meninggal dunia, menurut perangkaan rasmi seperti dilaporkan AFP.
Pada Disember tahun lalu, Perdana Menteri Swaziland, Ambrose Dlamini menjadi pemimpin pertama di dunia yang meninggal dunia akibat pandemik tersebut.
Beberapa ahli politik di seluruh dunia telah sembuh daripada Covid-19 antaranya bekas Presiden AS, Donald Trump, Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!