'Tiada tindakan terhadap menteri langgar SOP secara terbuka'
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyelar dan mempersoalkan kegagalan pihak berwajib dalam mengambil tindakan tegas terhadap menteri yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendakwa, ia kerana pendekatan berat sebelah dalam pelaksanaan SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sentiasa menjadi pertikaian umum.
Menurutnya, lebih membangkitkan kemarahan ramai apabila menteri dilihat sewenang-wenangnya melanggar SOP ketika rakyat pula sebaik mungkin mematuhinya bagi meredakan penularan Cobid-19.
"Pelanggaran SOP oleh menteri sekali lagi dapat dilihat melalui lawatan kerja Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul (Tengku Abdul Aziz) ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di Bangi pada 24 Januari lalu yang turut disertai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
"Berdasarkan maklumat serta gambar yang dimuat naik di Facebook Menteri Kewangan, aktiviti semasa program tersebut jelas melanggar SOP Am PKP yang dikemaskini pada 22 Januari lalu berhubung arahan untuk tidak membenarkan sebarang majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta termasuk aktiviti mesyuarat, bengkel pameran serta aktiviti yang berkaitan.
"Apakah rasional bagi aktiviti demo (pertunjukan) kepada menteri serta aktiviti simbolik seperti memberi makan lobster ketika darurat dan PKP2.0," soal Akmal dalam kenyataannya pada Rabu.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, lebih membimbangkan apabila Rina turut hadir pada program berkenaan walaupun beliau disahkan positif Covid-19 pada 11 Januari lalu.
"Jika mengikut tempoh standard kuarantin iaitu 14 hari, tempoh kuarantin beliau sepatutnya berakhir pada 25 Januari lepas.
"Bukankah itu suatu tindakan amat tidak bertanggungjawab oleh menteri yang berpotensi menyebar virus kepada umum," soalnya lagi.
Akmal berkata, pelanggaran SOP secara terbuka oleh menteri yang seperti kebal daripada tindakan undang-undang pernah disuarakan sebelum ini seperti rombongan rentas negeri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Johor pada 17 Januari yang lalu.
"Namun situasi itu berbeza kepada rakyat biasa. Seperti yang berlaku di Segamat, Johor apabila seorang wanita yang dikatakan tidak memakai pelitup muka di tempat awam sebaik turun dari kereta yang diparkir di hadapan kafe beliau segera disaman walaupun terdapat bukti melalui kamera litar tertutup (CCTV) bahawa kawasan tersebut lengang.
"Itu pendekatan yang berat sebelah, dua darjat dan perlu diubah segera. Tatkala rakyat segera diambil tindakan, menteri pula berterusan bebas melanggar undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!