Tiga pintu masuk Johor mula disanitasi esok
JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor akan memulakan proses sanitasi di tiga pintu masuk utama ke negeri ini secara berkala bermula Khamis.
Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, proses itu akan dilakukan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, CIQ Bangunan Kompleks Sultan Abu Bakar (BSAB) di Gelang Patah dan Lapangan Terbang Antabangsa Senai (LTAS) di Kulai.
Menurutnya, setiap operasi sanitasi yang dijalankan dijangka akan melibatkan antara 20 hingga 50 anggota selaras dengan saranan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad sebagaimana sebelum ini.
"JBPM Johor akan memulakan proses sanitasi bermula esok (Khamis) di LTAS diikuti dengan BSAB pada Jumaat dan BSI pada minggu depan.
"Lebih-lebih lagi kita lihat sekarang ini pihak Singapura juga minta pemandu lori untuk jalani ujian calitan, jadi kawasan mereka lalui ini kita sanitasi terutama laluan lori keluar masuk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat operasi sanitasi yang dijalankan secara bersepadu antara JBPM Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Pasar Borong Pandan City di sini pada Rabu.
Pada 21 Januari lalu, Singapura mengumumkan bahawa semua pemandu dan kalendan lori yang masuk ke republik itu diwajibkan menjalani Ujian Rapid Antigen (ART) di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands.
Yahaya berkata, proses sanitasi yang dilakukan itu akan melibatkan bahagian bangunan yang digunakan selain melibatkan laluan kenderaan berat di BSI dan BSAB.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan kerajaan bermula 13 Januari lalu, pihaknya sudah melakukan sebanyak 230 operasi sanitasi.
"Operasi berkenaan melibatkan pelbagai kawasan antara bangunan kerajaan, sekolah, bangunan swasta dan juga kawasan awam.
"Jumlah keseluruhan operasi sanitasi yang telah dibuat sepanjang PKP tahun lalu dan PKP kali ini adalah sebanyak 2,575 operasi melibatkan pelbagai lokasi di seluruh Johor," katanya.
Sementara itu, Yahaya turut memaklumkan sepanjang tahun lalu hingga kini, tiada anggota bomba yang direkodkan positif Covid-19 hasil daripada kerja sanitasi yang dilakukan mahupun jangkitan di tempat kerja.
"PKP tahun lalu, ada beberapa anggota positif namun ianya tidak berpunca daripada jangkitan di tempat kerja mahupun ketika melakukan proses sanitasi.
"Sebaliknya ia berpunca daripada jangkitan di luar tempat kerja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!