Tiga kontena sekoi dari Ukrane dirampas

Bijirin Sekoi dan tiga kontena sekoi dari Ukrane dirampas Maqis di NBCT pada Ahad lalu.
Bijirin Sekoi dan tiga kontena sekoi dari Ukrane dirampas Maqis di NBCT pada Ahad lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk tiga buah kontena berisi sekoi daripada Ukrane di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini Ahad lalu.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, tiga kontena terbabit dikesan oleh pegawai penguat kuasa Maqis dalam pemeriksaan rutin di Tapak Pemeriksaan NBCT sebelum menemukan 3,120 guni beg berisi sekoi seberat 67,000 kilogram (kg) dengan nilai RM390,881.09.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati barangan dagangan itu tidak mematuhi syarat seperti yang dinyatakan pada permit import Maqis.

"Kegagalan mematuhi syarat permit import Maqis menjadi kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011[Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Zarina berkata, siasatan mendapati tujuan pengimportan sekoi tersebut untuk diproses sebagai makanan manusia dan dipasarkan di Malaysia dan juga luar negara.

Katanya, Maqis sentiasa menjalankan pemeriksaan setiap keluaran pertanian yang masuk dalam negara bagi memastikan keluaran pertanian termasuk ikan dan haiwan yang diimport mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Jelasnya, langkah itu bagi menjamin keselamatan makan, bebas daripada perosak dan penyakit serta halal untuk dimakan oleh rakyat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!