17 MPV kejar pengedar dadah cuba lolos diri
JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah selepas 17 kereta peronda polis (MPV) mengejar suspek di Kilometer 58 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, suspek berusia 45 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Altis itu ditahan di susur keluar Simpang Renggam, Kluang kira-kira jam 8 malam.
Beliau berkata, sebelum kejadian anggota dari Cawangan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah dan kawalan pergerakan Covid-19.
"Ketika membuat rondaan di Taman Sri Tebrau kira-kira jam 7.15 malam, anggota polis melihat sebuah kereta berwarna putih berada dalam keadaan mencurigakan, sebelum mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan.
"Namun, suspek bertindak memecut laju melarikan diri ke Jalan Kasa dan keluar ke Lebuhraya EDL dengan memandu secara berbahaya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, dalam kejadian itu anggotanya dibantu 17 MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri, Kulai dan Kluang dan sebuah peronda lebuh raya.
"Suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan ke atas kereta dinaikinya menemui sejumlah dadah disyaki syabu dan pil ekstasi dianggarkan bernilai RM50,000.
"Semakan juga mendapati kereta itu didaftarkan atas nama syarikat kereta sewa selain suspek turut memiliki rekod jenayah lalu berkaitan dadah," katanya.
Katanya, suspek direman selama tujuh hari hingga 2 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!