Maqis rampas 149.6 tan limau mandarin dari China
JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 149.6 tan limau mandarin ke negara ini di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pada Selasa.
Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, limau mandarin dari China yang dimuatkan dalam enam kontena itu dianggarkan bernilai RM531,525.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua limau mandarin itu tidak mempunyai Sijil Perakuan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan) oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati limau mandarin seberat kira-kira 149.6 tan dengan nilai RM531,525 tanpa Perakuan 3P yang dikeluarkan FAMA.
"Sementara itu, pemandu kontena berusia 30 tahun dilepaskan setelah diambil keterangan pada jam 4 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!