Pemantauan kenaikan harga barang perlu lebih tegas: Syahir

Syahir
Syahir
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu melaksanakan pemantauan kenaikan harga barangan dan penguatkuasaan yang lebih tegas bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga secara tidak terkawal.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Syahir Sulaiman berkata, pemantauan harga barang perlu seimbang dengan kerajaan mengendalikan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini kerana, menurutnya, kenaikan harga yang tidak terkawal tersebut bukan sahaja dapat menghakis kuasa beli rakyat, namun boleh menyebabkan ekonomi menjadi lebih teruk ditambah dengan pelaksanaan PKP.

“Secara umumnya, pengguna dapat merasakan perubahan harga secara bulanan (month-to-month) pada Januari tahun ini berbanding Disember tahun lalu dan kini mula merasakan perubahan harga secara mingguan (week-to-week) sejak PKP2.0 dilaksanakan bermula 13 Januari.

“Situasi kenaikan harga (inflasi) hanya boleh berlaku apabila rantaian ekonomi tergendala, mengakibatkan proses penawaran dan permintaan dalam pasaran terjejas, di samping wujudnya elemen manipulasi dan monopoli yang perlu ditangani,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Dalam kenyataan sama, Syahir berkata, kerajaan boleh melibatkan rakyat dalam memantau kenaikan harga dengan mempermudahkan akses untuk membuat aduan seperti di aplikasi MySejahtera dan Ez Adu KPDNHEP.

Menurutnya, perkara tersebut bagi memastikan hak pengguna sentiasa terjamin pada masa yang agak sukar kini.

Katanya, objektif ekonomi yang perlu menjadi fokus kerajaan ialah merancakkan pertumbuhan ekonomi, mengurangkan pengangguran dan menstabilkan harga pasaran.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!