Sirius TV tawar dua saluran percuma kepada KPM

Tawaran Sirius TV adalah selari dengan sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia terhadap cadangan mewujudkan saluran televisyen pendidikan yang boleh diakses oleh pelajar dari semua peringkat pendapatan dan di kawasan luar bandar. - Foto internet
Tawaran Sirius TV adalah selari dengan sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia terhadap cadangan mewujudkan saluran televisyen pendidikan yang boleh diakses oleh pelajar dari semua peringkat pendapatan dan di kawasan luar bandar. - Foto internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Stesen televisyen satelit berbayar yang bakal dilancarkan di negara ini, Sirius TV menawarkan dua saluran percuma kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dijadikan saluran televisyen pendidikan bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMART Digital International Sdn Bhd (SMART), Khairuddin Abdul Rahman berkata, tawaran itu sebahagian daripada tanggungjawab SMART sebagai pengendali stesen televisyen Sirius TV bagi meringankan beban masyarakat dalam mendepani pandemik Covid-19.

"Penggunaan dua saluran tersebut akan dapat membantu KPM untuk menyiarkan kandungan pendidikan bagi sekolah rendah dan menengah dengan lebih meluas memandangkan satelit SES-12 yang digunakan Sirius TV mempunyai capaian yang amat baik di seluruh negara termasuklah di kawasan pedalaman.

"Ini sekali gus membolehkan KPM menyediakan medium untuk para pelajar mengakses kandungan pendidikan dalam bentuk rakaman mahu pun siaran langsung tanpa terlalu bergantung kepada capaian Internet," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, bagaimanapun, KPM belum memberikan maklum balas kepada tawaran Sirius TV.

Beliau berkata, melalui penggunaan dua saluran percuma yang ditawarkan Sirius TV, pelaksanaan PdPR akan dapat dipertingkatkan lagi keberkesanannya terutama di kawasan capaian internet tidak memuaskan selain membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan peranti.

Khairuddin berkata, tawaran Sirius TV adalah selari dengan sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia terhadap cadangan mewujudkan saluran televisyen pendidikan yang boleh diakses oleh pelajar dari semua peringkat pendapatan dan di kawasan luar bandar.

Katanya, stesen satelit Sirius TV akan dilancarkan secara rasmi pada suku pertama tahun ini dengan 30 saluran menawarkan pakej tanpa kontrak dan langganan percuma selama 12 bulan kepada pengguna. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!