Rampasan senjata api di Kelantan berkait dengan dadah
PASIR MAS - Polis Kelantan mendedahkan rampasan senjata api di negeri ini kebanyakannya berkaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan operasi membanteras pemilikan senjata api secara haram akan terus dipergiatkan dari masa ke masa.
"Tidak kira sindiket atau individu, kita tetap akan buru jika mempunyai kaitan dengan senjata api," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, Polis Kelantan telah merampas 11 senjata api pelbagai jenis dan 1,049 butir peluru manakala tahun sebelumnya sebanyak 14 pucuk senjata api pelbagai jenis dirampas bersama 507 butir peluru.
"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara menerusi pemilikan senjata api tanpa kelulusan sah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, pihaknya telah merampas sepucuk pistol bersama lapan butir peluru dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan taman dekat Batu Karang di sini pada Selasa.
Beliau berkata, serbuan pada jam 10.45 pagi itu turut menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai empat rekod jenayah lampau berkait jenayah serta dadah.
"Selain pistol, polis turut merampas empat bungkusan kecil yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah.
"Suspek direman selama enam hari bermula 27 Januari untuk membantu siasatan. Kes disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960," katanya.
Shafien berkata, pada Isnin sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu menerusi Ops Benteng Covid-19 telah merampas selaras senapang angin buatan sendiri milik seorang lelaki berusia 37 tahun di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang.
Katanya, turut dirampas bersama suspek dalam serbuan jam 6.30 petang itu, 67 biji guli dan ketulan kristal dipercayai dadah serta 140 biji pil yaba.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan suspek kini di reman empat hari bermula Selasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!