'Terima kasih rider Foodpanda selamatkan keluarga saya'
MIRI - "Saya nak ucapkan ribuan terima kasih pada pekerja Foodpanda kerana sudah menyelamatkan kami sekeluarga dari ancaman ular tedung".
Demikian ucapan penghargaan dan syukur Mohammad Jumardi Gati, 40, di atas keprihatinan seorang pekerja khidmat penghantar makanan Foodpanda Mohd Zamrul Faris dari Balingian Mukah berjaya menyelamatkan keluarga dari dipatuk ular berbisa di Taman Tunku, Miri, Sarawak pada Isnin lalu.
Mohammad Jumardi yang juga polis bantuan di Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Miri berkata, kejadian itu berlaku pada jam 8.30 malam ketika Mohd Zamrul kebetulan melalui Jalan Persiaran 1A sebelum melihat seekor ular tedung sepanjang kira-kira 1.5 meter melintas dan menyusur masuk kediamannya.
"Semasa kejadian saya sedang bertugas sementara di rumah hanya ada isteri Nur Dianahani Munir bersama tiga orang anak yang masih kecil. Mohd Zamrul telah menekan loceng rumah serta membunyikan hon motosikal untuk maklumkan perkara itu.
"Saya dapat panggilan daripada isteri mengatakan rider Foodpanda bagi tahu ada ular depan rumah saya.
"Saya terus menelefon adik saya Mohammad Shafiq Azam dan mengarahkan dia ke rumah untuk membunuh ular tersebut selepas isteri memaklumkan kejadian itu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jelasnya, Mohd Zamrul turut menunggu di hadapan rumah sehingga adiknya tiba berikutan bimbang ular tersebut bergerak dan bersembunyi di lokasi berbeza.
"Rider itu nampak ular itu bersembunyi di sebalik paip air di tepi pagar rumah. Syukur rider itu nampak, kalau tidak, saya tidak tahu apa akan berlaku.
"Tambah Lagi anak-anak saya masih kecil dan mereka selalu bermain d luar rumah.
"Saya amat berterima kasih kepada Mohd Zamrul sanggup berhenti depan rumah saya lalu memberitahu isteri ada ular tedung di depan pintu pagar. Semoga dimurahkan rezeki, hanya ALLAH mampu membalas jasanya," ujar Mohamad Jumardi.
Katanya, ular itu kemudian berjaya dibunuh oleh adiknya.
Mohammad Jumardi yang berkhidmat selama 15 tahun dalam unit polis bantuan memberitahu, kejadian reptilia berbisa memasuki rumahnya bukan pertama kali berlaku kerana sebelum ini ular pernah menyusur ke belakang rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!