Usul Republikan halang perbicaraan Trump ditolak
WASHINGTON - Usaha parti Republikan untuk menolak usul mensabitkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump atas tuduhan menghasut rusuhan di Capitol gagal meraih sokongan di Dewan Senat pada Selasa.
Usul yang dikemukakan itu ditolak 55-45 undi termasuk lima anggota Republikan yang akan membuka jalan untuk meneruskan perbicaraan kedua ke atas bilionair hartanah terbabit yang dijadualkan berlangsung pada 8 Februari depan.
Seramai lima anggota Republikan yang berada di pihak Demokrat adalah Senator Mitt Romney, Ben Sasse, Susan Collins, Lisa Murkowski dan Pat Toomey yang sebelum ini menggesa pemecatan beliau.
Terdahulu, seramai 45 anggota Republikan termasuk Pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell dan Senator Rand Paul mempersoalkan rancangan untuk membicarakan bilionair hartanah tersebut yang didakwa melanggar Perlembagaan kerana Trump tidak lagi bergelar Presiden.
Difahamkan, sokongan seramai 17 anggota Republikan diperlukan untuk mencapai majoriti dua pertiga untuk mensabitkan Trump.
Pada Isnin, Dewan Perwakilan mengemukakan satu artikel berkaitan pemecatan Trump yang didakwa menghasut para penyokongnya untuk melancarkan pencerobohan ganas Capitol pada 6 Januari lalu yang menjadi usul pemecatan pertama membabitkan bekas Presiden AS. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!