Bukan perarakan hanya pergerakan pedati: Polis

Pergerakan pedati perak yang membawa arca Dewa Murugan ke Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Air Terjun awal pagi Rabu.
Pergerakan pedati perak yang membawa arca Dewa Murugan ke Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Air Terjun awal pagi Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis mengesahkan tiada perarakan dalam perayaan Thaipusam di Pulau Pinang sebaliknya hanya pergerakan pedati perak yang membawa arca Dewa Murugan ke Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Air Terjun di sini awal pagi Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pergerakan itu juga telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, sehubungan itu, beberapa pasukan pegawai dan anggota polis telah ditugaskan sepanjang pergerakan pedati tersebut bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

"Sebenarnya ia bukan perarakan tetapi pergerakan pedati yang mana, pergerakan itu telah diluluskan oleh MKN. Polis hanya bertugas untuk menjaga keamanan bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

"Selain menjaga keamanan, semua polis yang bertugas juga memastikan tiada gangguan trafik sepanjang pergerakan pedati yang bermula pada jam 3.30 pagi tadi (Rabu)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Terdahulu, perarakan membawa arca Dewa Murugan di atas pedati perak diadakan awal pagi Rabu bersempena sambutan Thaipusam dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pedati tersebut dilaporkan bergerak dari Kuil Kovil Veedu pada jam 3.30 pagi dengan ditarik oleh dua ekor lembu sambil diiringi oleh 10 orang yang terdiri daripada pegawai kuil.

Pedati tersebut tiba di Jalan Air Terjun kira-kira jam 5.45 pagi selepas melalui beberapa buah jalan sejauh tujuh kilometer.

Artikel Berkaitan:

Laluan itu adalah laluan baharu yang mana ia lebih dekat berbanding tahun sebelumnya iaitu sejauh sembilan kilometer.

Pedati perak itu memulakan perjalanan dari Lebuh Penang ke Lebuh Chulia dan melalui Jalan Transfer, Jalan Burma, Jalan Anson dan seterusnya Jalan Macalister secara melawan arus.

Ia seterusnya bergerak ke Jalan Utama sebelum tiba di Jalan Kebun Bunga dan Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Air Terjun.

Mengulas mengenai pergerakan balik pedati tersebut, Sahabudin berkata, ia akan bergerak balik pada Jumaat ini ke Kuil Kovil Veedu di Lebuh Penang.

Pedati tersebut akan menggunakan laluan yang sama dengan mengikut kesesuaian jalan dan diawasi pihak polis sepanjang perjalanan tersebut.

"Ia bergerak terus tanpa berhenti di mana-mana lokasi. Oleh itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak berkumpul atau mengekori pergerakan pedati tersebut. Sekiranya mereka ingkar, polis tidak akan teragak-agak untuk mengenakan kompaun.

"Polis juga telah memaklumkan kepada penganjur bahawa hanya 10 petugas sahaja boleh mengiringi pedati tersebut dan mereka mematuhinya pagi tadi. Orang ramai tidak perlu berada di kawasan kuil dan sepanjang laluan pergerakan pedati. Mereka boleh sembahyang di kediaman masing-masing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!