Pak Chad yang berterus terang

A
A
A

RAMAI rakan profesor yang terkejut, tergamam dan 'tertampar’ dengan kenyataan Tun Dr Arshad Ayub bahawa kira-kira 2,500 profesor Melayu di Malaysia tidak mencapai tahap piawaian yang diharapkan. Malah, ramai juga masyarakat di luar yang berasakan kenyataan itu agak keterlaluan.

Sejauh mana kebenaran pendedahan oleh seorang tokoh pendidik membuat kenyataan secara generalisasi atau 'jamak’? Atau sebenarnya segelintir profesor yang tidak berkualiti?

Semua pihak harus bersifat terbuka menerima pandangan tersebut apabila Arshad secara terbuka membuat kenyataan yang 'mencalar maruah Melayu’.

Saya cuba berlapang dada menerima kenyataan tersebut. Mungkin ada niat lain sehingga kenyataan menyengat itu ditujukan kepada profesor Melayu. Sudah tentu ada hikmah atau udang di sebalik batu.

Arshad yang lebih dikenali sebagai Pak Chad memang terkenal dengan cara berterus terang dan tegas dalam apa keadaan pun.

Sikap dan jiwanya membentuk anak bangsa memang tidak dinafikan. Malah, beliau turut mencadangkan jumlah tenaga profesional dikerah bagi mengajar secara sambilan di universiti-universiti tempatan. Langkah itu perlu untuk menyumbang kepakaran dan pengalaman yang diperoleh daripada industri.

Namun, ramai juga tertanya-tanya apa sebenarnya niat di sebalik kenyataan tersebut. Adakah untuk menyedarkan profesor agar bingkas bangun menolong anak bangsa atau mahu profesor turun padang sehingga kenyataan mencadangkan industri perlu 'masuk kampus’ yang sebenarnya telah dilaksanakan banyak universiti tempatan sejak sekian lama.

Malah, ramai profesor anak bangsa yang tersohor dan menempa nama di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang. Di sisi yang lain, jika benar profesor di Malaysia semakin kurang berkualiti, mengapa pula baru-baru ini beberapa universiti tempatan telah mencetak nama sebagai universiti terbaik di arena antarabangsa. Sudah tentu kejayaan itu adalah sebahagian sumbangan profesor yang merupakan pentadbir utama universiti tempatan.

Artikel Berkaitan:

Golongan profesor dan komuniti berilmu di Malaysia mempunyai peranan penting sebagai pemikir negara bagi membentuk set minda warganegara, khususnya golongan muda yang dapat membantu mencapai matlamat puncak transformasi negara.

Profesor sebenarnya adalah aset kepada negara, harus bekerjasama sebagai ejen perubahan dan transformasi. Perubahan dinamik dan berterusan hanya dapat dihasilkan jika institusi pengajian tinggi yang terdiri daripada profesor dan akademia dapat membentuk sistem, budaya, set minda dan sikap yang betul.

Daya kreativiti dan inovasi digariskan sebagai batuan asas baharu strategi pembangunan negara, komuniti akademik khususnya profesor menjadi komponen utama strategi dan juga dalam pelaksanaannya.

Ketika negara bergerak ke hadapan, Malaysia perlu bekerja keras mempertingkat kapasiti aset pengetahuannya bagi mentransformasi masyarakat dan ekonomi. Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, kepakaran profesor tempatan juga digunakan untuk menjadi pemikir dan perunding dalam semua bidang.

Sama ada kenyataan profesor kita tidak berkualiti, benar atau disalahertikan, kita berasakan ada elok untuk dilihat kembali kewajarannya. Sejauh mana profesor kita telah betul-betul menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai bidang.

Sejauh mana pula pihak pemerintah memberi pengiktirafan kepada profesor yang cemerlang dan menjadi ejen perubahan di Malaysia. Sejauh mana pula pihak pemerintah memberi peluang dan ruang kepada pemikir negara untuk sama-sama membantu membangunkan agenda negara.

Maka, sudah sampai masanya Naib Canselor daripada semua IPTA berbincang dan mengambil tindakan sewajarnya susulan teguran Arshad. Kita percaya profesor Melayu sedia ada ramai yang berkemampuan untuk mengeluar-kan idea-idea baharu yang bernas demi pembangunan ekonomi negara dan survival orang Melayu.

Mungkinkah kenyataan Arshad ibarat marah anak, sindir menantu? Suntikan dan sengatan Arshad sering menjadi polemik dan penuh dengan muslihat.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!