‘Lebih baik diberikan baucar makanan’
SHAH ALAM - Beberapa pakar ekonomi bersetuju agar kerajaan melaksanakan pemberian baucar makanan dan barang runcit kepada golongan yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, tindakan itu dilihat lebih baik dan efisien berbanding pemberian wang.
Namun menurutnya, mekanisme pelaksanaan baucar makanan perlu diperhalusi terlebih dahulu agar bantuan tersebut benar-benar diterima dan tidak disalah guna oleh golongan memerlukan.
“Penelitian yang lebih mendalam perlu dilihat dan satu mekanisme perlu diwujudkan sebelum melaksanakan baucar makanan. Jika kita lihat sebelum ini ketika pemberian baucar buku, ramai pelajar yang salah guna baucar tersebut.
“Mereka menjualkan baucar tersebut kepada pekedai untuk mendapatkan wang berbanding membelanjakan baucar itu untuk buku,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohamad Fazli berkata, jika pelaksanaan bakul makanan yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) sama fungsinya seperti baucar makanan, maka tiada keperluan untuk melaksanakan cadangan itu.
Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian baucar makanan dan barangan runcit kepada golongan rentan.
Beliau berkata, negara luar seperti Amerika Syarikat AS), United Kingdom dan banyak lagi sudah lama melaksanakan intervensi food stamp dan pemberian baucar barangan perlu, cuma Malaysia sahaja tidak mempraktikkan cara berkenaan.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, seandainya baucar tersebut dilaksanakan, kerajaan harus meneliti pelbagai aspek terlebih dahulu.
“Sebagai contoh sekiranya baucar makanan tersebut diwujudkan, beberapa aspek harus diteliti termasuklah keperluan mewujudkan senarai makanan dan barang yang boleh dibeli menggunakan baucar tersebut.
“Kita tidak mahu jika baucar itu disalah guna untuk membeli makanan yang tidak sihat sebagai contoh air berkarbonat di mana ia akan memberi kesan kembali kepada kerajaan,” kata beliau.
Ahmad Azrin dalam pada itu mencadangkan agar kerajaan menggunakan platform e-wallet di mana ia disifatkan mampu memberikan keuntungan kepada pembeli dan peniaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!