Kos ujian PCR Covid-19 di premis kesihatan swasta wajar dikurangkan
SHAH ALAM - Pemuda Pas meminta kerajaan agar bekerjasama dengan Hospital Swasta bagi mengurangkan kadar kos ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 di premis Kesihatan Swasta.
Ketua Pemudanya, Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, kos ujian PCR ketika ini adalah lebih tinggi berbanding kos Rapid Test Kit (RTK).
“Setiap kali ujian, pelanggan akan dikenakan lebih daripada RM300.
“Caj yang tinggi ini merangkumi kos makmal, sut perlindungan, caj perkhidmatan dan kos sampingan seperti logistik,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam menghadapi keperluan ujian saringan Covid-19 yang meningkat, beliau berkata, adalah penting untuk diusahakan agar kos ujian yang dilaksanakan di premis kesihatan berkenaan dapat dikurangkan.
“Faktor yang perlu diambil kira termasuklah beberapa kategori rakyat yang bekerja di sektor perkilangan, komoditi dan perladangan,” katanya.
Sehubungan itu, Khairil berkata, pihaknya menggesa agar kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti isu tersebut supaya rakyat daripada pelbagai lapisan mampu untuk menjalani ujian itu dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!