Segera laksana keperluan mendesak bantu rakyat

Syed Mohd Johan Rizal
Syed Mohd Johan Rizal
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda UMNO Alor Setar menggesa supaya ordinan kuasa darurat digunapakai agar beberapa keperluan mendesak dapat dilaksanakan segera dalam membantu rakyat berdepan krisis ekonomi.

Ketuanya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sehubungan itu pihaknya menyarankan agar pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar yang hanya memanfaatkan 2 juta pencarum diperluaskan tanpa syarat.

Menurutnya, ia bagi membolehkan manfaat itu turut dinikmati pekerja yang masih mencarum termasuk golongan B40 supaya 8 juta pencarumnya beroleh faedah.

“Langkah yang disarankan ini antara pendekatan praktikal dan mudah dilaksanakan kerana hanya melibatkan penyelarasan kembali Belanjawan 2021 yang sudah diumumkan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) serta sedikit pengubahsuaian administratif yang bersifat akademia,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Syed Mohd Johan Rizal yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah berkata, pihaknya juga menyarankan agar skim subsidi upah tanpa syarat dilanjutkan sehingga akhir tahun 2021, khususnya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) susulan pandemik Covid-19 dijangka reda pada tahun 2023.

“Inisiatif ketiga adalah bantuan khas kepada ibu bapa dan penjaga dalam bentuk insentif khas, kesan tambahan perbelanjaan menyediakan kelengkapan gajet pembelajaran online anak-anak di rumah.

"Malah pemotongan yuran Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pada kadar 30 hingga 50 peratus wajar dipertimbangkan memandangkan sejak tahun lalu, lebih 80 peratus pengajian dilaksanakan secara dalam talian.

“Baki lebihan yuran yang dibayar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada universiti dipulangkan kepada pelajar bagi membolehkan mereka menyediakan kelengkapan gajet sebaiknya untuk pembelajaran ‘online’ dan bersiap siaga dengan normal baharu sistem pendidikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Syed Mohd Johan Rizal berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara juga disaran menawarkan potongan cukai pintu bagi semua premis dan outlet perniagaan, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), perumahan kos rendah bagi tahun taksiran 2021.

“Ini termasuk permit niaga dan penjaja jalanan diberikan percuma supaya mereka yang terkesan dalam perniagaan dapat dibantu dengan meringankan bebanan mereka.

"Kita juga berharap agar frasa ‘Desperate times calls for Desperate Mesures’ yang dilaungkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar dilaksanakan dan diperlihatkan kepada rakyat. Tambahan pula negara berada dalam situasi darurat, biarlah darurat ini dilihat menjurus kepada kepentingan bersama, iaitu demi rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Mohd Johan Rizal berkata, Pemuda UMNO Alor Setar menyambut baik saranan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan rasional ekonomi dalam situasi PKP 2.0 dan darurat yang berlangsung serentak.

“Dengan berkuatkuasanya PKP 2.0 hampir di seluruh negara, impak ekonomi setempat yang berlanjutan dari tahun 2020 mewujudkan kitaran ganas kemiskinan dan mengehadkan pendapatan boleh belanja rakyat.

"Justeru, selain moratorium yang harus dilanjutkan, geran atau pinjaman mudah Usahawan Kecil Prihatin juga wajar dipertimbangkan,” katanya.

BERITA BERKAITAN:

https://www.sinarharian.com.my/article/120327/BERITA/Nasional/Pemuda-UMNO-gesa-kerajaan-beri-moratorium-secara-automatik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!