Belum ada keperluan pembangkang guna satu logo, kata Marzuki
SHAH ALAM - Belum ada keperluan blok pembangkang membincangkan cadangan penggunaan satu logo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai langkah penyelesaian isu pendaftaran Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang).
Timbalan Presiden Penaja parti itu, Datuk Marzuki Yahya berkata, selain mengemukakan rayuan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS), parti itu lebih selesa menumpukan isu darurat ditimbulkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan masalah rakyat akibat Covid-19.
Di sebalik pelbagai halangan dihadapi Pejuang, Marzuki masih optimis RoS akan lebih bersikap telus meluluskan rayuan parti itu dalam masa terdekat.
“Memang ada rakan-rakan parti pembangkang mencadangkan kami menggunakan logo Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada PRU15, tetapi Pejuang masih optimis rayuan kami diluluskan.
“Soal pembangkang bertanding gunakan satu logo seperti PRU14, kita belum lagi berbincang ke arah itu. Sebenarnya belum ada keperluan pun lagi sebab daripada blok kerajaan pun, belum tentu Pas dan UMNO mahu guna logo Perikatan Nasional (PN) pada PRU15,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Isu pendaftaran Pejuang tidak diluluskan RoS dibangkitkan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir setelah permohonannya ditolak pada 6 Januari lalu.
Susulan itu, Mukhriz menegaskan parti itu mempertimbangkan kemungkinan bertanding pada PRU15 atas tiket parti atau gabungan lain dan bukan sebagai calon bebas sekiranya permohonan Pejuang berterusan diketepikan RoS.
Sebuah lagi parti serpihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dipimpin Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut berdepan dilema sama dan telah mencabar keputusan RoS di mahkamah.
Pada PRU14, Bersatu berdepan masalah pendaftaran parti sehingga menyebabkan blok pembangkang bersepakat menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menghadapi Barisan Nasional (BN).
Marzuki berkata, situasi dihadapi Pejuang ketika ini tidak boleh dibandingkan dengan situasi dihadapi Bersatu sebelum PRU14 kerana Bersatu sudah menyertai PH secara rasmi pada waktu itu.
Menurutnya, kedudukan terkini Pejuang adalah tidak terikat dengan PH dan lebih dilihat mewakili blok ketiga.
“Pejuang sentiasa terbuka untuk berbincang dengan blok pembangkang mengenai apa jua idea bekerjasama termasuk menggunakan satu logo. Namun tidak semestinya kami akan bersetuju dengan semua cadangan.
“Mengenai fungsi RoS, kami mengharapkan jabatan itu lebih telus, bebas dan bersifat adil,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!