Pembentukan jawatankuasa khas mampu dilaksana tanpa darurat

Hannah Yeoh semasa siaran lansung Sinar Live: Batal Darurat Ok atau Tak? pada Rabu.
Hannah Yeoh semasa siaran lansung Sinar Live: Batal Darurat Ok atau Tak? pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembentukan jawatankuasa bebas yang membabitkan pihak pembangkang dan kerajaan mampu dilaksanakan walaupun tanpa pengisytiharan darurat.

Menurut Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, pengisytiharan darurat dilihat memberi impak yang besar kepada keadaan ekonomi yang pada masa ini terjejas akibat wabak pandemik Covid-19.

Katanya, dengan ketiadaan sidang Parlimen ia akan membuatkan situasi tersebut bertambah teruk memandangkan tiada yang mampu mencabar keputusan yang dilakukan kerajaan.

“Sebenarnya darurat ini sangat menakutkan untuk pelabur. Bukan sahaja pelabur domestik tetapi pelabur di luar negara. Bila mereka dengar darurat, mereka akan risau tentang ekonomi dan pelaburan sama ada mereka stabil atau tidak.

“Sebab itu pembangkang merayu agar darurat dibatalkan. Pembatalan darurat bukan untuk ahli Parlimen, tetapi untuk ekonomi negara. Ini kerana pakej rangsangan yang diubah kurang efektif.

“Perdana menteri telah umumkan pakej permai, tetapi perbelanjaan ini tidak dapat disemak dan diimbang semula selepas Parlimen digantung.

“Orang awam dan ahli parlimen, tak boleh persoalkan bagaimana mereka membelanjakan wang ini sama ada mencukupi ataupun tidak,” katanya dalam program dalam program Sinar Live: Batalkan Darurat Ok atau tak yang disiarkan secara langsung pada Rabu.

Dalam program yang dikendalikan Haslina Ar Kamaludin itu, Hannah berkata, kerajaan sepatutnya berganding bahu bersama pembangkang untuk menangani isu Covid-19 dan menaikkan semula ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerjasama antara blok pembangkang dan kerajaan bukanlah satu perkara yang baru di Malaysia.

“Beberapa negeri sudah mula menjalinkan kerjasama antara pembangkang dan kerajaan bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di negeri mereka sepanjang penularan Covid-19.

“Kalau kita lihat bukan sahaja di Selangor, Menteri Besar Johor juga telah mengumumkan yang Pakatan Harapan ataupun pembangkang adalah rakan strategi mereka, begitu juga dengan Perak.

“Jadi saya rasa kerajaan dan pembangkang boleh duduk bersama untuk cari penyelesaian membantu rakyat. Kita sudah ada contoh di negeri lain yang mana ada usaha untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, Hannah berkata, undang-undang sedia ada sudah mencukupi dan perlu untuk mencari jalan baru memandangkan Malaysia telah berjaya menurunkan jumlah pesakit Covid-19 pada Perintah Kawalan Pergerakan yang lepas.

Tambahnya, kerajaan juga digalakkan untuk mendengar pandangan orang lain termasuk pembangkang, rakan media, serta rakyat demi membawa kebaikan kepada negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!