SOP dipatuhi, tiada sambutan Thaipusam di Sungai Petani
SUNGAI PETANI - Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam Sungai Petani, yang menjadi lokasi ketiga terbesar perayaan Thaipusam di Malaysia, berada pada tahap memuaskan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tinjauan ke lokasi itu pada jam 10 malam Rabu mendapati tiada perayaan Thaipusam disambut seperti tahun sebelumnya yang menerima kehadiran lebih 300,000 pengunjung sepanjang tiga hari upacara keagamaan itu berlangsung.
Menurutnya, ini menunjukkan pihak pengurusan kuil akur dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar tidak menganjurkan sebarang upacara keagamaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19.
"Pemantauan yang kita lakukan mendapati tiada sambutan diadakan, notis penutupan kuil juga dipasang di pintu masuk utama selain pemberitahuan kepada pengunjung telah dibuat lebih awal oleh pihak pengurusan rumah ibadat ini.
"Setakat ini, kita lihat pematuhan SOP cukup baik biarpun umum mengetahui di sini adalah sambutan ketiga terbesar Thaipusam di Malaysia selepas Batu Caves, Selangor dan Pulau Pinang," katanya kepada pemberita ketika memantau Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam pada Rabu.
Terdahulu, beliau menjelaskan, pertemuan telah diadakan dengan pihak pengurusan kuil bagi menjelaskan SOP yang perlu dipatuhi di mana hanya lima ahli jawatankuasa atau pihak pengurusan dibenarkan berada dalam kawasan terbabit.
Menurut beliau, pihaknya telah menugaskan empat pasukan khas terdiri daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dan bantuan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah untuk memantau kemungkinan terdapat pelanggaran SOP.
"Kita telah menyediakan empat pegawai dan 24 anggota yang akan memantau kawasan ini sepanjang tempoh perayaan,"jelasnya.
Ketika ditanya tentang kehadiran pengunjung luar daerah, jelasnya, tiada kemungkinan ia berlaku memandangkan sekatan jalan raya telah didirikan di sempadan daerah yang menyekat perjalanan rentas daerah tanpa kebenaran.
Dalam perkembangan berlainan, katanya, sebanyak 62 kompaun dikeluarkan terhadap individu ingkar PKP di Daerah Kuala Muda sejak dikuatkuasakan minggu lalu.
"Sepanjang tempoh sama, seramai 6 tangkapan termasuk pekerja di tapak pembinaan yang melakukan kerja-kerja pembinaan tanpa kebenaran, telah ditahan kerana ingkar PKP," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!