Kutipan MBJB merosot pada 2020, hanya peroleh RM293 juta

Adib Azhari Daud
Adib Azhari Daud
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kutipan hasil cukai Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) merosot pada tahun lalu dengan hanya memperoleh RM293 juta.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, jumlah itu merosot lima peratus berbanding hasil pada 2019 iaitu RM309 juta.

Katanya, hasil bukan cukai melibatkan kutipan sewa, lesen serta kompaun juga menurun 28 peratus pada tahun lalu iaitu RM76.4 juta berbanding RM105.94 juta dikutip pada 2019.

"Secara keseluruhannya, jumlah hasil MBJB yang dikutip pada 2020 mencatatkan kemerosotan 9 peratus berbanding 2019 iaitu RM403.27 juta kutipan pada 2020 berbanding RM443.99 juta dikutip pada 2019.

"Ini menunjukkan terdapat kemerosotan hasil yang dikutip sebanyak RM40.72 juta. Pandemik Covid-19 memberikan impak terhadap kutipan hasil MBJB secara menyeluruh pada 2020," katanya berucap dalam Mesyuarat Penuh MBJB di sini pada Rabu.

Beliau yang membentangkan laporan prestasi Belanjawan MBJB tahun 2020 berkata, bagi prestasi perbelanjaan pula, sebanyak RM218.71 juta dibelanjakan untuk tujuan mengurus iaitu penurunan 7.23 peratus berbanding 2019.

Bagi perbelanjaan pembangunan pula katanya, sejumlah RM169.77 juta dibelanjakan iaitu peningkatan 9.8 peratus berbanding 2019.

"Secara keseluruhannya jumlah perbelanjaan bagi 2020 adalah RM388.48 juta iaitu penurunan 0.5 peratus berbanding 2019," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Adib berkata, sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan pada 13 Januari lalu, MBJB melalui Jabatan Penguatkuasaan telah menjalankan 7,109 pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan itu melibatkan premis perniagaan, pasar raya, pejabat, penjaja, rumah ibadat, tempat riadah dan lain-lain lagi.

Daripada jumlah itu katanya, 54 buah premis tidak mematuhi peraturan atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan dengan 40 daripadanya diberi notis pemberitahuan dan 14 lagi diarahkan tutup premis.

Sementara itu, Adib berkata, Jabatan Kerja Awam MBJB akan mengarahkan kontraktor penyelenggaraan untuk melaksanakan pembaikan lorong belakang di sekitar kawasan Bandar Baru Uda.

Pihaknya turut berharap usaha mengindahkan lorong belakang kawasan itu turut diperluaskan di kawasan lain melalui kempen-kempen yang efektif agar mendapat sokongan penuh masyarakat setempat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!