Kerajaan perlu duduk semeja dengan pembangkang selesai isu pendidikan

Razeef Rakimin
Razeef Rakimin
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan harus duduk semeja dengan pembangkang bagi mencari penyelesaian berkaitan isu pendidikan yang dihadapi pada masa ini, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Sabah, Razeef Rakimin.

Razeef juga meminta kerajaan hari ini tidak perlu sombong dan harus mengetepikan soal politik buat sementara waktu terutama membabitkan isu pendidikan kanak-kanak.

"Sidang Parlimen tidak sepatutnya digantung ketika banyak sektor ekonomi beroperasi seperti biasa kerana melalui sidang Parlimen pihak kerajaan dan pembangkang dapat mencari penyelesaian terhadap isu ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Razeef, sudah hampir setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah namun masih gagal menyelesaikan isu berkaitan pendidikan terutama pelajar sekolah rendah dan menengah.

"Pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dilihat tidak berkesan kerana terdapat banyak isu antaranya ketiadaan capaian rangkaian internet di kebanyakan kawasan serta ketiadaan peranti untuk kegunaan pembelajaran dalam talian bagi golongan miskin dan sederhana.

"Peniaga memaklumkan jualan peranti seperti komputer riba dan tablet naik antara 10 hingga 40 peratus namun tidak semua ibu bapa mampu mendapatkan peranti untuk anak mereka.

"Selain itu kos untuk pembelian data internet juga sangat tinggi kerana kekuatan 1GB tidak mencukupi bagi panggilan video dengan aplikasi antaranya Zoom Meeting dan Google Meet yang memerlukan data yang lebih besar," katanya.

Sehubungan itu, perkara yang dihadapi ibu bapa amat membebankan terutama mereka yang kurang atau hilang pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Maka kerajaan sepatutnya mempunyai mekanisme atau penyelesaian terhadap isu ini namun setelah sepuluh bulan berlalu masih tidak ada penyelesaian daripada pihak kerajaan.

"Sikap lemah kerajaan hari ini menyebabkan beberapa keputusan yang dibuat seolah tidak ada perbincangan dengan pihak pendidik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!