'Bunuh diri petanda pesakit hendak minta tolong'
SHAH ALAM - Perbuatan bunuh diri sebenarnya adalah petanda seseorang itu mahu meminta tolong.
Pakar psikiatri dan Naib Presiden Scopurs Malaysia, Dr Nurul Syuhaida Abdul Razak berkata, sebelum seseorang itu mengambil tindakan tersebut pasti ada bibit-bibit yang ditunjukkan dan itulah petanda mereka hendak meminta tolong.
Beliau berkata, sebagai contoh golongan ini apabila datang ke hospital, mereka mahu dibantu kerana tidak tahu apa yang patut dilakukan dan kenapa mengalami masalah tersebut.
"Kadang-kadang mereka sendiri tidak faham kenapa mereka jadi begitu dan apabila bercakap dengan keluarga, keluarga tidak mendengar atau tidak faham.
"Jadi mereka ambil langkah cederakan diri kemudiannya bunuh diri. Ini kerana kedua-dua perkara itu adalah taboo untuk kita bercakap," katanya pada Wacana al-Quran siri ke-73 bertajuk Adakah Pesakit Mental Berbahaya yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Rabu.
Turut menjadi panelis Pendakwah Bebas, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor; Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator serta Qari, Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan surah al-Baqarah ayat 195.
Mengulas lanjut, Dr Nurul Syuhaida berkata, tindakan bunuh diri ini juga dilihat sebagai cara untuk golongan tersebut mendapat kelegaan sementara.
Menurutnya, golongan berkenaan akan mula mencederakan diri dan apabila lihat kesan kesakitan itu, mereka rasa puas.
"Sebelum itu mereka rasa sakit tapi tak lepas, nak bercakap juga tak lepas, nak mengekspresikan diri apatah lagi, tidak dipedulikan.
"Saya pernah ada pesakit yang dia datang berjumpa saya, diam tak bercakap, sentiasa berpakaian hitam menutup seluruh badan, bila kita buat pemeriksaan pada dia banyak kesan 'self harm' ditemui pada tangan, dada, kaki dan seluruh badan," katanya.
Selain itu katanya, memang ada golongan ini bertindak bunuh diri kerana mempunyai penyakit mental seperti kemurungan, bipolar disorder dan sebagainya.
Menurutnya, kemurungan ini adalah masalah emosi yang sangat ketara dan golongan ini akan merasa tiada harapan, tiada motivasi, tiada harga diri dan tujuan untuk terus hidup lalu pilih untuk mencederakan diri mereka.
Katanya, bipolar disorder pula mempunyai dua 'mood' di mana mereka boleh menjadi gembira yang terlalu ekstrem dan kemurungan.
"Emosi yang ekstrem ini boleh juga menyebabkan bunuh diri kerana ia di luar kawalan contoh bawa kereta laju, minum arak berlebihan dan membawa kepada pengambilan dadah secara berlebihan.
"Penggunaan dadah berlebihan boleh pengaruhi otak serta pemikiran dan membawa kepada psikosis di mana mereka mula mendengar bisikan, nampak bayang-bayang, rasa ada orang ikut dan mula rasa hendak bunuh diri," katanya.
Ditanya apakah pesakit ini mempunyai harapan untuk sembuh, Dr Nurul Syuhaida berkata, harapan sembuh ada dengan syarat golongan ini perlu dibawa untuk rawatan awal, diberikan sokongan oleh keluarga, dipantau dan diberi makan ubat yang betul serta paling penting mereka harus mengakui bahawa mereka mempunyai sakit/masalah psikiatri.
"Golongan tersebut jika diberi peluang mereka tidak akan pilih untuk sakit mental atau ambil nyawa mereka sendiri, jadi keluarga dan masyarakat perlu amalkan 'look, listen and link' dengan peka perubahan yang berlaku, dengar apa diluahkan tanpa menghakimi mereka dan bawa mereka ke hospital untuk dapatkan rawatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!