Sambutan Thaipusam di Gunung Cheroh sepi

C Gemini Ganesan tetap berpuas hati meraikan Thaipusam walaupun dari luar pagar Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh.
C Gemini Ganesan tetap berpuas hati meraikan Thaipusam walaupun dari luar pagar Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh.
A
A
A

IPOH - Suasana di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh di sini pada Khamis sunyi sepi sedangkan rumah ibadat ini menjadi tumpuan lebih 500,000 pengunjung setiap kali Thaipusam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, hanya sebilangan kecil penganut agama Hindu dalam kalangan penduduk tempatan hadir bagi menyatakan kesyukuran dan melaksanakan nazar.

Kehadiran mereka bagaimanapun hanya dibenarkan di pekarangan luar kuil secara bergilir dengan kawalan pihak berkuasa.

Pengerusi kuil, M Vivekanda berkata, keadaan itu jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

M Vivekanda (dua, kiri) bersama ahli jawatankuasa kuil meninjau keadaan pekarangan kuil yang lengang sempena perayaan Thaipusam hari ini.
M Vivekanda (dua, kiri) bersama ahli jawatankuasa kuil meninjau keadaan pekarangan kuil yang lengang sempena perayaan Thaipusam hari ini.

Menurutnya, hanya sekitar 20 orang sahaja kalangan ahli jawatankuasa, petugas dan pemain muzik dibenarkan berada dalam kuil.

"Kebiasaannya awal pagi lagi kawasan ini sudah penuh dengan orang ramai, ada perarakan kavadi, aktiviti jual beli di sepanjang jalan, suasananya meriah dengan kehadiran tidak kurang 500,000 orang.

"Tahun ini, suasana itu tidak lagi boleh dilihat. Kita akui sedih dan memang ramai yang mengadu tidak puas hati, tetapi apa boleh buat, arahan kerajaan perlu dipatuhi lebih-lebih lagi ini berkaitan soal kesihatan dan keselamatan," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ahli jawatankuasa itu mengambil inisiatif mengadakan Facebook live bagi membolehkan penganutnya mengikuti upacara sembahyang yang diadakan di kuil berkenaan.

Katanya, video secara langsung itu dikongsi sejak jam 7 pagi hingga upacara selesai pada jam 10 pagi di Facebook rasmi mereka Ipoh Kallumalai & Buntong Mariamman Temple.

Tambah Vivekanda, ini kali kedua perayaan Thaipusam disambut secara suram di kuil yang berusia lebih 100 tahun itu selepas perintah darurat 1969.

"Siapa sangka selepas lebih 50 tahun, kita berdepan dengan situasi sama dan berharap pandemik Covid-19 ini cepat reda dan kita boleh rayakan dengan meriah tahun hadapan," katanya.

Dalam pada itu, penganut Hindu yang ditemui, S Panimalar, 32, berkata, dia dan keluarga tidak pernah ketinggalan datang ke kuil itu untuk sembahyang setiap kali perayaan Thaipusam dengan rutin berjalan kaki dari kediaman mereka di Silibin sejauh hampir lima kilometer.

Penganut Hindu hadir bagi menyatakan kesyukuran dan melaksanakan nazar dari luar pagar Kuil Sri Subramaniar dengan pemantauan ketat pihak berkuasa.
Penganut Hindu hadir bagi menyatakan kesyukuran dan melaksanakan nazar dari luar pagar Kuil Sri Subramaniar dengan pemantauan ketat pihak berkuasa.

"Kali ini rutin itu tidak dapat dilakukan, sedih memang sedih dan saya sendiri pun hampir menangis bila mengenangkan hanya boleh berada di luar kuil sahaja," katanya.

Dia bersama adik perempuannya datang menaiki kereta sekitar jam 9 pagi dan turut membawa bekalan antaranya susu dan manisan.

Bagi C Gemini Ganesan, 56, tahun-tahun sebelum ini kebiasaannya dia mencukur rambut di luar kuil sebagai satu bentuk membayar nazar.

"Tahun ini tidak dapat melakukan seperti itu lagi. Walaupun tiada sambutan, saya tetap hadir ke kuil, dapat duduk luar pagar pun tidak mengapa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!