Katil pesakit, kerusi roda wakaf buat yang perlu
SEREMBAN - "Guna selagi perlu dengan syarat pulangkan semula kepada kami apabila tidak lagi diperlukan,"
Itu bantuan berkonsepkan wakaf kesihatan yang diperkenalkan oleh Tabung Warisan Khas Kesihatan (TWKK) yang dikelolakan oleh Pengerusinya, Mohd Najib Khairuddin sejak 10 tahun lalu.
Menerusi bantuan berkenaan, orang ramai boleh mendapatkan peralatan perubatan wakaf seperti katil pesakit dan kerusi roda secara percuma.
Mohd Najib berkata, terdapat tiga kategori permohonan iaitu mampu, sederhana mampu dan tidak mampu.
"Untuk bantuan katil pesakit bagi yang mampu, mereka dikehendaki membayar kos pengangkutan penghantaran RM400 bagi 30 kilometer pertama dan RM6 bagi setiap satu kilometer tambahan.
"Bagi yang hanya mampu bayar separuh sahaja daripada kos ditetapkan dan yang sememangnya tidak mampu, kita akan beri subsidi tapi dengan syarat mereka benarkan permasalahan mereka diwar-warkan kepada orang lain yang mungkin berminat untuk membantu," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga Pengerusi Tabung Yang Infaq berkata, kadar kos pengangkutan yang dikenakan itu jauh lebih murah berbanding mereka terpaksa membeli katil yang harganya mampu mencecah sehingga RM2,000.
Bagi bantuan kerusi roda pula kata Mohd Najib, mereka hanya perlu membayar kos pengurusan RM50.
"Mereka guna lah peralatan ini selagi mana diperlukan dan pulangkan kembali kepada kami jika tidak lagi digunakan supaya ia dapat beri manfaat kepada orang lain pula.
"Sebenarnya wakaf perlu jadi instrumen permasalahan masyarakat. Ia bukan saja terhad pada wakaf harta seperti tanah dan bangunan atau yang biasa orang buat wakaf al-Quran, sejadah dan telekung sembahyang.
"Tapi skopnya luas dan kelangsungan wakaf akan beri peluang kepada masyarakat untuk hidup lebih sejahtera. Wakaf lain yang boleh kita lakukan ialah wakaf kesihatan," katanya.
Malah menjadi sasarannya untuk membuka hospital wakaf suatu hari nanti supaya dapat memberi manfaat kepada semua orang terutama mereka yang kurang berkemampuan.
Sementara itu Pengurus Pengurusan TWKK, Muhammad Fahmi Mohd Najib berkata, permohonan katil pesakit paling banyak diterima berbanding kerusi roda.
Jelas beliau, pada tahun lalu sahaja seramai 83 pemohon dari pelbagai negeri telah menerima manfaatnya.
"Ada juga permohonan yang kami terpaksa tolak kerana lokasi yang jauh. Ini kerana 'penggerak' kita hanya ada di Seremban, Pasir Putih (Kelantan), Ipoh (Perak) dan Pontian (Johor).
"Katil dan kerusi roda ini semuanya wakaf yang sumbernya kita perolehi daripada sumbangan orang ramai dalam bentuk fizikal dan wang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!