China mula laksana swab dubur kesan Covid-19
BEIJING - Pemerintah China telah mula menggunakan kaedah calitan dubur (anal swab) ke atas individu yang dianggap berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.
Sebelum ini, pakar-pakar perubatan China bersetuju, kaedah itu adalah lebih tepat untuk mengesan kehadiran Covid-19 berbanding ujian calitan tekak dan hidung.
Penyiar rasmi CCTV berkata, pegawai kesihatan telah mula mengambil sampel daripada penduduk di zon merah di Beijing pada minggu lalu.
Penduduk yang ditempatkan di pusat-pusat kuarantin turut diarah menjalani prosedur sama.
Doktor kanan di Hospital Youan di Beijing, Li Tongzeng memberitahu CCTV bahawa kaedah calitan dubur dapat meningkatkan kadar pengesanan individu yang dijangkiti virus berkenaan.
Tambahnya, ini kerana kesan virus kekal lebih lama di dubur berbanding di saluran pernafasan.
"Kaedah ini juga membantu mengurangkan hasil ujian positif palsu," katanya.
Bagaimanapun, menurut CCTV, kaedah swab dubur tidak akan dilaksanakan secara meluas seperti kaedah konvensional yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sementara itu, warganet di China memberikan pelbagai reaksi susulan pelaksanaan calitan dubur berkenaan.
Ada yang mengkritik langkah itu dan tidak kurang ada juga yang menjadikannya sebagai bahan jenaka. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!