Hanif dilantik Ketua PKR Cabang Rembau baharu
SEREMBAN - Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau, Datuk Hanif Hasan kini dilantik sebagai Ketua PKR Cabang Rembau yang baharu, menggantikan R Tanggam yang digantung keahlian sejak setahun lalu.
Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelantikan tersebut dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi selepas mendapati PKR Cabang Rembau tidak aktif setelah keahlian Ketuanya digantung.
"Tanggam dikenakan tindakan disiplin selepas isu di Hotel Sheraton dan sekali gus keahliannya dalam PKR digantung, sehinggalah satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.
"Timbalannya, Dr Streram pula masih lagi sebagai ahli PKR dan jawatannya kekal sebagai Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau bersama pimpinan Ketua PKR Cabang baharu," katanya selepas melawat Pasar Port Dickson yang terbakar di sini pada Khamis.
Hadir sama Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan berkata, penyusunan semula di Cabang Rembau perlu dilakukan bagi membolehkan jentera PKR bergerak kembali untuk persediaan Pilihan Raya Umum ke-15.
Katanya, Majlis Pimpinan Negeri Sembilan sangat komited dalam memastikan semua jentera PKR berfungsi dan bergerak aktif bersama masyarakat.
Dalam pada itu, Menteri Besar itu berkata, kerajaan negeri dan Pejabat Ahli Parlimen Port Dickson telah memberi sumbangan bantuan kepada enam peniaga yang terjejas akibat kebakaran di Pasar Port Dickson.
Katanya, buat sementara ini peniaga yang terjejas boleh berniaga di bahagian khemah luar yang telah disediakan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson, sementara kerja-kerja pembaikan dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!