Kerajaan tak perlu takut tanggung hutang untuk rakyat

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan disaran agar tidak perlu takut atau mengelak defisit dan hutang yang akan ditanggung oleh negara.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan sebaliknya berkata, apa yang perlu dirisaukan oleh kerajaan adalah hutang rakyat bertambah.

“Kadang kala, dengan menambah hutang kerajaan jika ke arah perkara yang betul, boleh menurunkan beban rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Shahril berpendapat, institusi pembuatan dasar dalam negara masih lagi dalam mod konvensional iaitu takut kepada hutang dan defisit.

“Masih dalam kerangka minda yang menganggap jika defisit kerajaan rendah, maka secara automatik itu adalah pencapaian bagus. Sebaliknya, jika defisit kerajaan tinggi, automatik ia tak bagus.

“Sedangkan dalam mendepani pandemik, negara lain menambah defisit jauh lebih besar daripada Malaysia untuk membantu ekonomi masing-masing,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut berharap agar kerajaan bertindak segera sekiranya memerlukan belanjawan dan pembekalan tambahan.

“Termasuklah jika perlu meningkatkan kadar siling hutang atau menerbitkan bon untuk perbelanjaan mengurus (OE).

Artikel Berkaitan:

“Selagi ia untuk rakyat, tak membazir, tak boros tanpa had tentunya mesti cermat tetapi mesti belanja,” katanya.

Tambah beliau, isu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hanyalah satu contoh masalah besar kepada generasi muda dan ibu bapa muda.

Sehingga Ogos depan, katanya, banyak lagi cabaran yang akan timbul termasuk mengenai pengangguran dan pendapatan anak muda yang memerlukan tindakan tangkas melangkaui apa yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2021.

“Hutang kerajaan boleh diurus, diselenggara. Sakit hutang rakyat yang bawa bencana,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!