Tingkat penglibatan swasta percepat program vaksinasi rakyat
KUALA LUMPUR - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa agar kerajaan memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat negara ini menerusi penglibatan doktor swasta.
Presiden MMA, Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, langkah itu akan mempercepat program vaksinasi.
"Dalam pelannya, kerajaan hendaklah mengutamakan lokasi dengan penduduk yang ramai kerana mereka mempunyai risiko jangkitan Covid-19 lebih tinggi. Banyak klinik swasta terletak di kawasan ini, oleh itu, akses akan lebih cepat dan mudah kepada penduduk.
“Juga banyak pesakit diuruskan doktor swasta mempunyai komorbiditi yang sudahpun melayakkan mereka menerima vaksin seperti pelan semasa dalam program vaksinasi negara untuk mengutamakan vaksinasi kepada kumpulan rentan," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.
Dr Subramanian berkata, peningkatan penglibatan klinik swasta dalam program vaksinasi negara akan turut membantu kerajaan mengurangkan kesesakan di lokasi pemvaksinan secara keseluruhan.
Beliau berkata ini akan turut mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dan sumber kerajaan dalam melaksanakan program itu kerana klinik swasta akan menggunakan kakitangan mereka sendiri.
"Doktor terbabit juga mempunyai pengalaman dalam menyelaras program berskala besar kerana ketika ini, ramai doktor swasta yang terlibat dalam ujian saringan massa Covid-19 bagi pekerja asing dan komuniti di mana klinik mereka berada. Kesemua program ini diselaraskan secara individu oleh klinik yang mengambil bahagian," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!