AFC tak masuk campur

Aksi antara Malaysia dan Thailand dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 November 2019. - Foto FB FAM
Aksi antara Malaysia dan Thailand dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 November 2019. - Foto FB FAM
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) tidak masuk campur dalam perbincangan yang sedang diadakan antara semua negara yang terlibat dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, AFC akan ‘memberi jalan’ kepada kesemua negara berkenaan untuk meneruskan perbincangan masing-masing sebelum memuktamadkan keputusan secara bersama.

Menurutnya, kesemua negara berkenaan perlu mencapai kata sepakat menerusi perbincangan tersebut sama ada mahu meneruskan kempen kelayakan itu Mac depan atau menundanya pada Jun depan.

“Buat masa ini kami (AFC) tidak akan campur tangan dalam sebarang perbincangan di antara semua negara yang bertanding. Mereka perlu mencapai keputusan sesama sendiri.

“Masih ada masa untuk mereka melakukan perbincangan. Sekiranya aksi kelayakan itu dapat diteruskan semula pada Mac nanti, ia boleh berlangsung secara timbal balik.

“Tetapi jika tidak dapat diteruskan sepertimana yang telah dijadualkan sebelum ini, secara automatik ia akan ditunda pada Jun depan dan akan dilangsungkan secara karnival.

“Tuan rumah bagi karnival itu pula akan ditentukan oleh AFC berdasarkan kepada kemudahan infrastruktur yang disediakan seperti pesawat, penginapan, latihan, kuarantin dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Difahamkan, empat daripada lima pasukan yang bersaing dalam Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 telah menyatakan persetujuan pindaan tarikh baharu.

Artikel Berkaitan:

Selain Malaysia, tiga negara lain - Indonesia, Thailand, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia bersetuju aksi kelayakan itu ditunda pada Jun manakala Vietnam belum memberi kata putus.

“Ketika ini, pasukan dalam kesemua lapan kumpulan belum mencapai kata sepakat dan bukan hanya Kumpulan G. Jadi mereka perlu segera mencari kata sepakat.

“Masing-masing mempunyai keputusan yang berbeza-beza. Ini kerana ada aksi kelayakan yang hampir selesai, ada yang di pertengahan dan macam-macam lagi.

“Oleh itu, penting untuk mereka segera membuat keputusan berhubung perkara ini kerana jika pada Mac tidak dapat dianjurkan, secara automatik ia akan anjurkan secara karnival pada Jun nanti,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!