Ketepatan teknik RT-PCR punca harga ujian mahal

Gambar kecil dari atas: Rohaizat, Azmawati
Gambar kecil dari atas: Rohaizat, Azmawati
A
A
A

SHAH ALAM - Teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) bagi tujuan diagnosis Covid-19 dikenakan pada harga yang tinggi kerana teknik itu perlu melalui proses menyeluruh selain melibatkan kos-kos sampingan.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, berbanding kit ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag), teknik itu melalui proses cepat dan ketepatan ujian itu hanya sekitar 80 hingga 90 peratus.

“Kos RT-PCR lebih mahal kerana ia merangkumi kos makmal, sut perlindungan, caj perkhidmatan serta kos sampingan seperti logistik.

“Maka kesemua kos itu menyebabkan harga ujian RT-PCR lebih mahal iaitu bagi setiap calitan ada yang dicaj sehingga lebih RM300.

“Ujian RT-PCR juga mengambil masa lebih lama dan ketepatannya terjamin berbanding keputusan RTK-AG yang hanya ketepatannya 80 hingga 90 peratus walau ia boleh diperoleh dalam masa cepat,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Rohaizat berkata, sekiranya seseorang itu tidak terdedah dengan kontak rapat positif Covid-19, memadai individu itu hanya menjalani ujian RTK-AG kerana risiko untuk dijangkiti adalah kurang.

“Namun apabila kebarangkalian tinggi dan individu itu terdedah dengan kontak positif, maka individu itu disarankan membuat ujian RT-PCR bagi mendapatkan keputusan yang lebih tepat.

“Ini memandangkan melalui ujian RT-PCR sampel ujian akan dihantar ke makmal dan menjalani ujian yang lebih teliti sebelum mendapat keputusan terperinci. Individu itu wajib kuarantinkan dirinya sendiri sehingga mendapat keputusan ujian calitan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyokong penjelasan Dr Rohaizat, Pakar Mikrobiologi Klinikal, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nurul Azmawati Mohamad menambah, ujian RT-PCR lebih rumit dan memerlukan peralatan serta barangan yang kosnya lebih mahal.

“Namun ujian RTK-AG lebih murah memandangkan peralatan yang digunakan tidak melibatkan kos yang tinggi selain keputusan ujiannya lebih pantas diperolehi,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!