Enam maut nitrogen bocor di kilang AS
ATLANTA - Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan 11 lagi cedera akibat kebocoran gas nitrogen yang berlaku di sebuah kilang memproses makanan dekat bandar raya Atlanta, tenggara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Polis dari Gainesville, Georgia memberitahu para pemberita bahawa seramai lima orang maut di tempat kejadian manakala pihak berkuasa kesihatan berkata, seramai 12 orang dimasukkan ke sebuah hospital termasuk seorang anggota bomba.
Mereka yang dirawat di hospital itu menghadapi masalah pernafasan.
"Seorang mangsa yang dimasukkan ke hospital itu meninggal dunia di hospital," kata seorang anggota bomba, Zachary Brackett dari Perkhidmatan Bomba Daerah Hall.
Menurut seorang pegawai kesihatan tempatan, Sean Couch, tiga yang lain berada dalam keadaan kritikal dan tiga mangsa lagi dibenarkan untuk meninggalkan hospital,
Bagaimanapun polis memaklumkan kebocoran tersebut tidak menyebabkan berlakunya satu letupan dan punca kejadian itu belum diketahui dan masih lagi berada dalam siasatan.
Menurut polis kejadian itu berlaku pada jam 10 pagi waktu tempatan apabila saluran cecair nitrogen pecah di kilang memproses makanan ayam iaitu Kumpulan Yayasan Makanan di Daerah Hall di negeri tenggara AS, menurut Naib Presiden syarikat berkenaan, Nicholas Ancrum.
"Kami tidak boleh bercakap sehingga siasatan selesai tentang bagaimana kejadian ini boleh berlaku," kata Ancrum yang tempat syarikatnya bekerja terletak di Gainesville, Georgia kira-kira 80 kilometer dari timur laut Atlanta.
Syarikat itu sebelum ini dikenali dengan Prime Pak Makanan.
Ancrum berkata, seramai 130 orang pekerja telah diarah keluar dari kilang tersebut. Tambahnya. mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah pekerja penyelenggaraan, penyelia dan pengurus kilang.
Seorang pemandu trak yang menyaksikan kejadian itu berkata, dua atau tiga orang tidak sedarkan diri ketika mereka keluar dari bangunan kilang tersebut semasa proses perpindahan sedang dilakukan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!