Kongsi rezeki bantu golongan memerlukan

Kedai makan milik Aja di Bukit Setongkol di sini dikunjungi orang ramai untuk mendapatkan nasi percuma. (Gambar kecil: Nur Hazamazlin Razali)
Kedai makan milik Aja di Bukit Setongkol di sini dikunjungi orang ramai untuk mendapatkan nasi percuma. (Gambar kecil: Nur Hazamazlin Razali)
A
A
A

KUANTAN - Prihatin terhadap nasib golongan memerlukan dan bersyukur atas rezeki ALLAH SWT, mendorong seorang pengusaha kedai makan di Bukit Setongkol di sini berkongsi rezeki.

Nur Hazamazlin Razali, 37, atau lebih mesra dengan panggilan Aja terpanggil menyediakan nasi percuma kepada golongan tersebut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini.

Aja berkata, sumbangan makanan itu bermula awal pelaksanaan PKP 2.0 dengan 100 bungkus nasi disediakan pada permulaannya.

Menurutnya, bungkusan nasi percuma itu ditambah 150 hingga 200 bungkus sehari kerana sambutan yang diterima menggalakkan malah ada pelanggan yang memberi sumbangan.

Orang ramai beratur di kedai makan milik Aja di Bukit Setongkol untuk mendapatkan nasi percuma.
Orang ramai beratur di kedai makan milik Aja di Bukit Setongkol untuk mendapatkan nasi percuma.

"Istimewanya di sini, mereka boleh memilih lauk sama ada ikan atau ayam dengan cara masakan berbeza setiap hari ditambah sayur, ulam dan sambal.

"Jadi mereka boleh pilih menu yang disukai dan kita bungkuskan untuk dibawa pulang dengan had dua bungkus setiap orang," katanya ketika ditemui di kedai makannya (Warung Aja) di sini.

Dia berkata, makanan percuma yang disediakan juga panas dan bukan makanan siap dibungkus.

Artikel Berkaitan:

"Kita masak khas untuk mereka dan mula diagihkan pada jam 12 tengah hari.

"Ada ketikanya kita terpaksa bungkus makanan dari kedai yang disediakan untuk pelanggan jika ada yang datang selepas makanan percuma itu habis supaya mereka tidak pulang dengan tangan kosong dan kelaparan," katanya.

Aja (kiri) membantu pekerjanya menyediakan lauk untuk nasi percuma yang diagihkan kepada golongan memerlukan.
Aja (kiri) membantu pekerjanya menyediakan lauk untuk nasi percuma yang diagihkan kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, walaupun nasi percuma itu disediakan untuk golongan memerlukan, dia tidak pernah menghalang jika ada individu lain mengambilnya jika perlu.

"Setakat ini Alhamdulillah, ramai yang datang dalam kalangan yang benar-benar memerlukan. Ada ibu tunggal, orang kurang upaya, pekerja pembersihan dan daripada pelbagai kaum.

"Saya sendiri kadang-kadang mendekati mereka dan jelas ramai yang benar-benar memerlukan malah mereka juga sentiasa berterima kasih atas sumbangan ini.

"Ada yang datang menangis bila kita hulurkan makanan jadi kita dapat tahu keadaan mereka yang benar-benar dalam kesusahan," katanya.

Aja juga terharu dan berterima kasih kepada pelanggan yang turut menyumbang kepada usaha kebajikan itu.

"Melalui sumbangan mereka, lebih ramai golongan susah dapat manfaatnya dan usaha ini akan mungkin akan diteruskan selepas PKP 2.0 ini,"katanya.

Aja menghulurkan bungkusan nasi percuma kepada orang ramai yang datang ke kedainya di Bukit Setongkol di sini.
Aja menghulurkan bungkusan nasi percuma kepada orang ramai yang datang ke kedainya di Bukit Setongkol di sini.

Tambah Aja, sumbangan yang dihulurkan itu bukan perkara baharu sebaliknya sudah dimulakan sejak PKP 1.0 lalu termasuk keperluan lain.

"Cuma pada PKP 1.0 dahulu, kedai ditutup jadi jumlah makanan percuma agak terhad berbanding ketika ini dan operasi kedai seperti biasa cuma pelanggan tidak dibenarkan makan di sini," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja pembersihan, Mohd Azman Mahusin, 52 berkata, dia berterima kasih kepada Aja atas sumbangan makanan percuma itu.

Katanya, ketika ini ramai yang terkesan ekoran pandemik Covid-19 sehingga ada yang tiada sumber pendapatan akibat kehilangan kerja dan sebagainya.

"Atas keprihatinan tuan kedai ini, sekurang-kurang dapat membantu golongan memerlukan mendapat makanan percuma dalam tempoh sukar ini,"katanya.

Usaha dijalankan Aja sebelum ini tular di laman sosial dan mendapat respon positif daripada netizen.

Mohd Azman (kiri) mendapatkan nasi percuma yang disediakan di kedai makan milik Aja.
Mohd Azman (kiri) mendapatkan nasi percuma yang disediakan di kedai makan milik Aja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!