Covid-19: Tiga lelaki Malaysia kes import asimptomatik di Singapura
SINGAPURA - Tiga lelaki rakyat Malaysia antara 32 kes import asimptomatik yang disahkan di Singapura Khamis.
Kementerian Kesihatan Singapura melalui data penuh yang dikeluarkan di sini lewat malam tadi memaklumkan ketiga-tiga mereka merupakan pemegang permit kerja dan tiba ke Singapura dari negara asal.
Sehingga tengah hari Khamis, Singapura mencatatkan sejumlah 34 kes import dengan 32 daripadanya adalah asimptomatik, manakala dua lagi bergejala.
Seorang wanita pemastautin Singapura berumur 29 tahun yang baru kembali dari Malaysia adalah antara kes import asimptomatik di sini.
Singapura turut melaporkan dua kes import dari Bangladesh dan India yang keputusan ujian awal menunjukkan positif bagi strain B117.
Lain-lain kes import adalah dari Indonesia, Oman, Sri Lanka, Pakistan, Romania, Emiriah Arab Bersatu, dan Amerika Syarikat.
Singapura melaporkan tiada penularan tempatan jangkitan Covid-19 Khamis, dan jumlah jangkitan di sini kini adalah 59,425.
Jumlah kluster yang dikesan kekal enam, selepas tiada kluster baharu dikesan.
Sehingga kini 29 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan jangkitan Covid-19 di Singapura. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!