Lelaki maut nahas tiga kenderaan di LPT1

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran ke lokasi untuk bantuan menyelamat mangsa kemalangan di KM163, LPT1 dekat Maran, tengah malam tadi. - Foto JBPM Pahang
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran ke lokasi untuk bantuan menyelamat mangsa kemalangan di KM163, LPT1 dekat Maran, tengah malam tadi. - Foto JBPM Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 163, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Maran, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pemandu kereta jenis Proton Gen2, Amir Mohamed, 45, dari Mentakab disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dikenali sebagai Muhamad Hakimi Amer, 31, dari Pasir Puteh, Kelantan hanya cedera ringan.

"Pemandu treler yang turut terlibat dalam nahas ini dikenali sebagai Ahmad Nazari Ghazali, 42, dan kelindannya, Alias Sulong, 58, pula tidak cedera.

"Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika treler yang membawa muatan peralatan hospital dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, bahagian belakang treler telah dirempuh kereta dipandu mangsa. Akibat kejadian, kereta dipandunya terbabas ke lorong kanan sebelum dirempuh MPV dipandu seorang guru yang datang dari arah sama," katanya.

Tambah Kamarulzaman, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!