Hormati institusi presiden, hentikan desakan tidak bermanfaat
SHAH ALAM - Desakan secara terbuka supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan memberikan imej yang tidak baik dalam parti.
Ketua Wanita UMNO Selangor, Datuk Rosni Sohar berkata, beliau meluahkan kebimbangan situasi itu menjadi halangan kepada pengurusan parti di semua peringkat yang kini bersiap sedia menuju Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurutnya, jentera dan ahli di akar umbi memerhati setiap pergerakan serta perkembangan parti dan keadaan semasa itu memberi kegusaran kepada mereka.
"Kebelakangan ini, saya merasa amat kesal apabila membaca beberapa artikel, tulisan, paparan di media sosial oleh individu dan kumpulan yang meminta presiden melepaskan jawatannya.
"Perkara ini tidak bermanfaat dan memberikan impak tidak baik kepada imej parti apabila desakan ini juga turut membabitkan pihak dalaman parti sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau yang juga Setiausaha Wanita UMNO Malaysia berkata, pimpinan parti seharusnya memberikan fokus kepada isu rakyat yang terkesan dan terbeban dengan pandemik Covid-19.
"Tumpuan juga perlu diberikan kepada bencana banjir yang melanda negara, ketabahan ibu bapa dan guru-guru dalam menjalani teknik persekolahan yang baru serta pelbagai lagi ujian terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. (PKP) 2.0 ini.
"Keperluan dan kemampuan rakyat menangani isu-isu hidup kita ketengahkan dan berikan keutamaan demi meringankan apa yang ditanggung oleh rakyat kini," katanya.
Tambah beliau, peranan selaku pemimpin masyarakat perlu diperkasakan dan jauhkan terlalu berpolitik yang akhirnya menggoyahkan kepercayaan rakyat kepada parti.
"UMNO sebagai parti yang bersistematik serta mempunyai mata dan telinga di akar umbi, masih utuh dan berada di hati penyokong. Rakyat mendambakan UMNO kembali sepenuhnya di dalam pentadbiran negara.
"Kita izinkan dan berikan kepercayaan kepada presiden serta barisan kepimpinan tertinggi mengorak perjalanan sebaiknya untuk ahli khususnya dan juga rakyat Malaysia secara amnya," katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang sebelum ini meminta Ahmad Zahid berehat daripada memimpin parti itu dengan rasa hormat.
Ia disusuli pemasangan kain rentang mendesak Presiden UMNO itu meletak jawatan yang dikesan di Kuala Kangsar dan Tanjung Malim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!