Malaysia perlu tuntut siasatan isu pelarian Rohingya di Aceh

Ratusan etnik Rohingya dari kem pelarian di Lhokseumawe, Aceh, Indonesia didakwa hilang dan telah datang ke negara ini.
Ratusan etnik Rohingya dari kem pelarian di Lhokseumawe, Aceh, Indonesia didakwa hilang dan telah datang ke negara ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia wajar menuntut siasatan yang telus dijalankan berhubung kehilangan pelarian etnik Rohingya dari kem pelarian di Lhokseumawe, Aceh, Indonesia yang didakwa telah datang ke negara ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, kerajaan perlu memberi perhatian serius mengenai berita kehilangan ratusan etnik Rohingya dari kem pelarian berkenaan baru-baru ini.

"Kerajaan wajar mendapatkan lebih banyak maklumat daripada pihak Kedutaan Besar Indonesia untuk menjejaki kelompok yang hilang jika destinasi yang dituju adalah negara kita," katanya.

Menurutnya, kemungkinan wujudnya kecuaian atau korupsi yang membebankan pihak berkuasa di negara di negara ini bagi menampung kehadiran pendatang asing dalam jumlah yang besar.

"Ini kerana, Malaysia adalah negara kecil yang sudah terlampau sesak dengan kedatangan warga asing sama ada pelarian, pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang terlibat dalam membantu membawa masuk pelarian atau PATI secara haram wajar diberi hukuman keras termasuk warganegara Malaysia.

"Malaysia tidak boleh lagi berkompromi dengan fenomena warga asing yang membanjiri negara ini walaupun ada yang cuba menggunakan sentimen persamaan agama untuk meraih simpati khususnya Melayu-Islam," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbezaan taraf pendidikan, budaya, bahasa serta mentaliti tetap menjadi faktor pergeseran sosial di peringkat rakyat yang akan memberi impak kepada keharmonian masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu lagi rakyat Malaysia 'dirojakkan' dengan bercampur bersama warga asing dari negara dunia ketiga di mana mereka tersebut lambat laun akan menuntut pelbagai hak setelah berjaya bermastautin di negara ini.

"Warga asing ini membentuk pelbagai persatuan sama ada secara sah atau bawah tanah untuk memperjuangkan agenda mereka hingga ada yang terlibat dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral, jenayah dan monopoli kawasan perniagaan," ujarnya.

Pada masa sama, Faiz berkata, sistem kesihatan di Malaysia juga akan terbeban disebabkan kebanyakan pelarian tidak mendapat imunisasi sewajarnya daripada negara asal mereka.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu memberi fokus untuk memperketatkan kawalan sempadan negara dengan memantau segala laluan pintu masuk ke negara ini.

"Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) wajar diintegrasikan merentasi agensi-agensi kerajaan agar negara ini tidak mudah diceroboh warga asing dan perbuatan jenayah merentasi sempadan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ratusan etnik Rohingya di Indonesia lari ke Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!