Perak perkenal sistem e-Tanah
IPOH - Kerajaan negeri Perak melalui Pejabat Tanah dan Galian memperkenalkan e-Tanah iaitu sistem berkomputer bersepadu dalam usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran dan urusan tanah.
Sistem yang dijadualkan digunapakai bermula 15 Februari depan itu akan membolehkan pengguna mengemukakan permohonan dan pembayaran cukai tanah secara dalam talian.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sistem tersebut dilihat sebagai satu pendorong penting kepada penggunaan teknologi secara dalam talian sepenuhnya bagi memobalisasi penyampaian perkhidmatan awam secara digital.
"Pendigitalan perkhidmatan awam bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan terutamanya ketika negara masih dibelenggu pandemik Covid-19.
"Langkah yang diperkenalkan ini adalah bagi memenuhi permintaan pengguna yang mahukan suatu sistem penyampaian pengurusan tanah yang lebih mudah, komprehensif dan selamat digunakan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi sistem e-Tanah antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perak bersama Syarikat Puncak Tegap Sdn Bhd yang diadakan secara maya di sini pada Jumaat.
Kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; manakala kerajaan Persekutuan diwakili Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Puncak Tegap Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nigel Lee.
Sementara itu, Saarani berkata, dengan sistem e-Tanah, transaksi permohonan dan pembayaran akan dilakukan secara 'wireless', 'paperless' dan 'cashless'.
Pada masa ini, katanya, keperluan urusan secara digital bukan sahaja penting kepada pejabat tanah tetapi memudahkan orang awam tanpa perlu lagi ke kaunter kerajaaan.
“Ini adalah satu langkah untuk mengadaptasi norma baharu dalam perkhidmatan awam melalui penyampaian sistem kerajaan secara online dengan menggalakkan pembayaran secara 'cashless', mengurangkan pergerakan bersemuka di kaunter serta dapat mengurangkan ketirisan hasil,’’ katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!