Pejabat MB Kedah tutup 3 hari, pegawai positif Covid-19

Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman ditutup bermula Ahad sehingga 2 Februari bagi kerja-kerja sanitasi.
Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman ditutup bermula Ahad sehingga 2 Februari bagi kerja-kerja sanitasi.
A
A
A

ALOR SETAR - Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini ditutup selama tiga hari bermula Ahad sehingga 2 Februari depan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penutupan sementara itu adalah bagi membolehkan keseluruhan bangunan pusat pentadbiran negeri itu disanitasi sepenuhnya.

Menurutnya, ia susulan beberapa pegawai serta kakitangan yang bertugas di pejabat berkenaan disahkan positif Covid-19.

“Oleh kerana ada kalangan keluarga dan kakitangan Wisma Darul Aman positif Covid-19 tidak bergejala beberapa hari lalu, beberapa bahagian Wisma Darul Aman terpaksa disanitasi sepenuhnya termasuk Pejabat Menteri Besar yang turut dikunjungi pegawai terbabit,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Muhammad Sanusi berkata, Pejabat Menteri Besar akan dibuka semula pada 3 Februari depan.

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi

“Pejabat saya tidak putus-putus dikunjungi orang ramai dengan pelbagai urusan setiap hari. Bagi menjamin keselamatan dan keselesaan tempat kerja kakitangan dan orang ramai, proses sanitasi perlu dilaksanakan dan operasi pejabat dihentikan beberapa hari,” katanya.

Buat masa ini, katanya, urusan pentadbiran tetap dijalankan namun dilaksanakan dari rumah dan di beberapa pejabat lain yang tidak terjejas.

Artikel Berkaitan:

“Semoga kakitangan yang positif Covid-19 atau yang dikuarantin segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa,” katanya.

Selain Pejabat Menteri Besar, dua lagi pejabat yang ditutup di Wisma Darul Aman ialah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITU) Kedah serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

Penutupan kedua-dua pejabat itu berkuat kuasa Khamis sehingga 6 Februari depan.

Sementara, seorang pegawai Wisma Darul Aman yang positif Covid-19 dan mahu dikenali sebagai Faris mengesahkan beberapa rakan sekerjanya turut disahkan positif selepas menjalani ujian saringan kali kedua.

“Saya disahkan positif Covid-19 pada Khamis selepas menjalani teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR). Sebelum itu saya jalani ujian saringan (RTK) di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar.

"Saya bergejala hilang deria bau dan rasa, tetapi tidak demam. Kepada rakan-rakan setugas, sekiranya bergejala, segera maklum kepada pihak pentadbiran untuk anda lakukan ujian saringan sekali lagi biarpun ujian kita semua pada 21 Januari lalu adalah negatif,” katanya.

Menurutnya, dia sendiri tidak pasti punca jangkitan dan memohon maaf kepada kontak rapat dengan dirinya sekiranya mereka turut dijangkiti.

“Saya mohon maaf kerana saya sendiri pun tak tahu turut dijangkiti. Saya telah senaraikan sejarah perjalanan saya untuk panduan bagi mengesan kontak rapat lain,” katanya.

Katanya, dia kini dirawat di Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah Hospital Kuala Nerang bersama tiga lagi rakan setugas yang juga positif Covid-19.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur apabila keputusan ujian Covid-19 isteri dan anaknya didapati negatif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!