NBCT diwartakan Zon Perdagangan Bebas
GEORGETOWN - Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Butterworth akan diwartakan sebagai Zon Perdagangan Bebas mulai 1 Februari ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Susulan itu, pihaknya berharap Pelabuhan Pulau Pinang dapat berkembang maju di peringkat antarabangsa dan menjadi pilihan pertama dalam kalangan pelabur asing.
"Dengan usaha yang diambil, akhirnya Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersetuju mewartakan Pangkalan Kontena Butterworth Utara sebagai Zon Perdagangan Bebas di bawah Akta Zon Bebas 1990.
"SPPP dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan berusaha meningkatkan perkhidmatan pelabuhan supaya dapat menarik lebih banyak pelabur asing untuk mengguna Pelabuhan Pulau Pinang serta menarik syarikat asing untuk menubuhkan kilang di negeri ini," katanya.
Tambahnya, syarikat asing dapat menggunakan kemudahan yang disediakan di Zon Perdagangan Bebas dan seterusnya dieksport semula ke luar negara.
"Oleh kerana mereka dapat menikmati perkhidmatan tanpa beberapa bayaran termasuk duti kastam; duti eksais, cukai jualan atau cukai perkhidmatan kecuali bagi barang tertentu di bawah Perintah Zon Bebas (Pengecualian ke atas barang-barang dan perkhidmatan) 1998, maka barangan yang dieskport dijangkakan pada harga yang lebih rendah.
"Pihak SPPP berjanji bahawa Zon Perdagangan Bebas akan mengambil langkah-langkah komprehensif untuk menarik para pelabur asing ke Pulau Pinang bagi mengembangkan lagi sektor perdagangan di zon tersebut," katanya.
Teik Cheng berkata, pihaknya yakin banyak pelabur dari seluruh dunia akan datang ke negeri ini untuk menjalankan aktiviti selepas ini.
"Oleh kerana Zon Perdagangan Bebas menyediakan kemudahan komersil, termasuk perkhidmatan penghantaran dan penyimpanan yang cekap serta dasar pemberian insentif, maka kita yakin banyak pelabur dari seluruh dunia akan datang ke sini.
"Ia bagi menjalankan aktiviti-aktiviti nilai tambah yang dibenarkan seperti memecah pukal, menggred, pembungkusan semula, melabel semula, transit dan mengeksport semula," katanya
Beliau berkata, Zon Bebas terbahagi kepada Zon Perdagangan Bebas untuk menjalankan aktiviti perdagangan dan komersil manakala Zon Perindustrian Bebas dibenarkan untuk menjalankan aktiviti pengilangan.
Tambahnya, pewartaan NBCT sebagai Zon Perdagangan Bebas dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan tempatan dan mendorong industri pembuatan domestik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!