Trump mahu tunjuk 'kuasa'
WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump masih mahu menunjukkan beliau masih mempunyai 'kuasa' walaupun sudah meninggalkan Rumah Putih selepas beliau berjanji akan membantu parti Republikan (GOP) menguasai semula Dewan Perwakilan dan Senat pada pemilihan Kongres 2022.
Bilionair hartanah tersebut membuat janji itu kepada bertemu dengan pemimpin minoriti Republikan di Dewan Perwakilan, Kevin McCarthy di kelab persendirian milik beliau, Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida pada Khamis.
Kedua-duanya dilaporkan berbincang tentang pelbagai topik dan rancangan paling utama adalah merampas Dewan Perwakilan yang dikuasai parti Demokrat ketika ini selepas Republikan hilang kawalan ke atas Rumah Putih dan Senat pada pemilihan tahun lalu.
Pertemuan itu berlangsung kira-kira tiga minggu selepas McCarthy mencetuskan kemarahan Trump apabila beliau menuding jari menyalahkan Presiden ke-45 AS itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden pencerobohan ke atas Capitol yang dilancarkan para penyokongnya pada 6 Januari lalu.
Pada minggu lalu, McCarthy bagaimanapun mengubah kenyataan itu dan menyatakan kononnya beliau tidak percaya Trump menghasut rusuhan tersebut ketika desakan semakin meningkat untuk melancarkan langkah pemecatan ke atas bekas Presiden terbabit.
Sejak meninggalkan Washington, Trump yang ketika ini berdepan sekatan menggunakan media sosial banyak menghabiskan masa bermain golf selain mengadakan mesyuarat bersama penasihatnya untuk memastikan beliau kekal memegang kawalan ke atas GOP.
Ketika ini, beliau memberi fokus kepada 'penentang' dalam kalangan anggota Republikan yang berpihak dengan Demokrat untuk menyokong undi pemecatannya selain mengkaji bagaimana anggota GOP di Senat akan mengundi pada perbicaraan yang bermula pada 9 Februari depan.
Persediaan awal itu dibuat selepas kebanyakan senator Republikan memberi isyarat bahawa mereka akan mengundi untuk memecat Trump berikutan usul yang menghalang proses itu ditolak pada awal minggu lalu. - Agensi
Info:
- Dewan Perwakilan AS dikuasai 221 anggota Demokrat dan 211 anggota Republikan.
- Dewan Senat AS pula mempunyai pecahan sama rata 50-50 anggota kedua-dua parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!