Istana mewah Putin tidak wujud!
MOSCOW - Stesen TV Rusia pada Jumaat menolak dakwaan pembangkang yang mendedahkan tentang kewujudan istana mewah milik Presiden Vladimir Putin yang sebelum ini turut dinafikan pemimpin tersebut.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas rakaman video memaparkan 'mahligai Putin' di tepi Laut Hitam bernilai AS$1.37 bilion (RM5.54 bilion) yang didakwa sebagai 'rasuah terbesar dalam sejarah' itu meraih lebih 100 juta tontonan di YouTube.
Saluran berita Mash turut mengeluarkan rakaman yang memaparkan wartawan mereka melakukan lawatan ke rumah agam tersebut yang menyerupai imej dalam video siasatan didedahkan pemimpin pembangkang, Alexei Navalny di aplikasi Telegram dan YouTube.
Rakaman tersebut bagaimanapun berbeza dengan imej dipaparkan pengkritik Kremlin tersebut berikutan ia jelas masih dalam proses pembinaan.
Selain itu, rakaman Mash itu juga menunjukkan ruang air pancut kosong yang kononnya menempatkan akvadiskoteka atau disko akuatik seperti didakwa Navalny.
Rakaman video dibuat Mash itu turut disiarkan saluran Rossiya-24.
"Nampaknya, segala hiasan dalam mewah yang ditunjukkan dalam bangunan itu tidak wujud kerana bangunan itu hanyalah sebuah kawasan besar yang sedang dalam pembinaan," kata penyiar di stesen tersebut.
Sementara itu, Ketua Pasukan Penyiasat di Yayasan Antirasuah Navalny, Maria Pevchikh menerusi Twitter menyindir laporan tersebut.
"Mash telah mengesahkan apa yang kami dedahkan tentang usaha pembaikan dan masalah kulapuk. Terima kasih kerana kami sudah tahu tentang perkara itu," ujarnya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!