Syoknya komen tanpa ilmu

A
A
A

KESAN daripada dunia yang semakin terbuka, tiada lagi sempadan ilmu. Selain itu, komunikasi sesama manusia sudah tiada benteng lagi. Kita bebas untuk memberikan pendapat dan pandangan.

Adakalanya, pandangan yang dikemukakan cukup bermanfaat. Namun ada juga komen yang berbentuk sampah dan racun sehingga menyakitkan hati serta menjejaskan pemikiran dan perasaan. Apa yang lebih parah, terdapat juga komen-komen tersebut yang melampaui batas dan bersifat buli siber. Pun begitu, tidak ramai yang berasa kesal dengan perbuatan tersebut kerana menyakini mereka adalah betul.

Sebetulnya, ramai yang berasa ‘kaya dengan ilmu’ dengan hanya berkongsi pandangan daripada orang ramai. Bagi mereka, semakin ramai yang mengesahkan perkara berkenaan maka semakin benarlah status ilmu tersebut. Walhal dari segi kebenaran mengesahkan ilmu, kaedah anektodal (hanya berasaskan pandangan orang ramai) adalah berada pada tahap yang paling lemah sekali. Pun begitu, kaedah tersebut sangat popular kerana tidak perlu bersusah payah menggali dan mengkaji sesuatu ilmu. Apa yang penting, mereka sudah berasa ‘cerdik’ dengan menyebar ilmu yang diperakui oleh majoriti.

Selain daripada menyalurkan maklumat yang disangkakan betul, mereka juga syok memberikan komen terhadap apa jua isu berdasarkan pengetahuan yang sedia ada. Malah ada yang tidak tahu apa pun, namun suka memberikan komen. Prinsip mereka mudah sahaja, “Tidak perlu modal untuk memberikan komen.” Namun secara tidak sedar, mereka sudah berada di lembah kejahilan.

Berkaitan hal itu, saya amat tertarik dengan nukilan Pak Hamka berkaitan jahil di dalam bukunya, Falsafah Hidup. Menurut beliau, kejahilan itu bermakna bekunya perasaan dan lemahnya otak. Hakikatnya, sifat jahil itu mempunyai empat peringkat iaitu; tingkat pertama, jiwanya kosong dan tidak pasti sama ada sesuatu itu benar atau salah. Mereka masih mudah dibantu kerana tiada bimbingan sahaja. Tingkat kedua, mempunyai pendirian yang salah tetapi tidak tahu kesalahannya. Kelompok ini masih boleh berubah walaupun sukar sedikit kerana berbuat salah disebabkan kejahilan semata-mata.

Bagi tingkat ketiga pula, mempunyai pendirian yang salah kerana disangkanya benar. Kelompok ini mengambil masa yang lama untuk mengubah sangkaan tersebut. Bagi tingkat yang terakhir, mempunyai pendirian yang salah dan tahu kesalahan tersebut, namun tidak mahu mengubah pendiriannya.

Pendirian itu lahir, kerana adanya sifat benci, dengki, ingin membalas dendam serta takbur dan keras kepala. Adalah jelas, kelompok ini tidak akan berubah selagi tidak menerima hidayah daripada ALLAH.

Secara keseluruhannya, terdapat dua jenis kejahilan iaitu jahil yang tipis dan jahil yang tebal. Bagi jahil yang tipis, amat mudah menerima teguran setelah melakukan kesilapan dan salah membuat pertimbangan, manakala jahil yang tebal semakin diberi peringatan semakin bertambah jahilnya. Apa yang nyata, jahil tebal ini amat berbahaya kerana dia tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu kejahilannya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, apa jua alasan kita perlu mendalami ilmu. Betapa pentingnya ilmu, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka ALLAH SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah ALLAH, membaca kitab ALLAH (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta ALLAH SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya” (Hadis Riwayat Muslim).

Rumusannya, tanpa ilmu seumpama kegelapan yang ingin menerangi kegelapan Hanya ilmu pemberi cahaya kepada kegelapan. Carilah kebenaran dengan ilmu.

*Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!